PERMOHONAN kemasukan pelajar sesi akademik 2024/2025 ke pelbagai program pengajian di institusi pengajian tinggi awam Malaysia telah dibuka melalui UPUOnline. Tarikh permohonan Fasa Pertama adalah dari 29 Februari hingga 29 Mac 2024, manakala Fasa Kedua akan dibuka dari 29 April hingga 9 Jun 2024.
Peluang ini terbuka kepada semua calon yang berminat untuk menyertai program Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat institusi latihan kemahiran awam. Seramai 395,870 pelajar telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
Dalam era yang penuh dengan cabaran dan peluang, adalah penting bagi lepasan SPM untuk memilih jurusan dengan prospek kerjaya masa depan yang cerah. Pelajar juga perlu merancang masa depan mereka dan menetapkan matlamat kerjaya jangka panjang.
Pasaran Pekerjaan
Langkah pertama yang perlu diambil adalah memahami landskap pasaran pekerjaan. Mereka perlu mengkaji trend pekerjaan semasa dan masa depan serta mengenal pasti bidang-bidang yang mempunyai permintaan pekerjaan yang tinggi. Misalnya, bidang teknologi maklumat, data sains, kecerdasan buatan (AI), pembangunan perisian sains komputer, kejuruteraan dan perubatan biasanya mempunyai prospek kerjaya yang baik.
Sekiranya terdapat permintaan tinggi dalam bidang tertentu, pelajar pasti mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi setelah tamat pengajian. Ini dapat membantu mengurangkan risiko pengangguran selepas tamat pengajian dan meningkatkan kebolehan pelajar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan. Dengan memahami pasaran pekerjaan, lepasan SPM mampu membuat pilihan jurusan yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka.
Kemahiran dan Minat
Setiap individu mempunyai kebolehan dan minat yang berbeza. Lepasan SPM perlu memilih jurusan yang sejajar dengan kemahiran dan minat mereka. Apabila seseorang bekerja dalam bidang yang mereka minati, mereka akan lebih bersemangat dan berjaya terhadap kerjaya mereka.
Seseorang yang minat dalam teknologi komputer akan berjaya dalam bidang sains komputer atau kejuruteraan komputer. Oleh itu, penting bagi pelajar untuk mengenalpasti minat mereka, sama ada dalam sains, seni, sastera, perniagaan, teknologi, atau bidang lain yang mereka minati.
Kelayakan akademik
Pelajar perlu menyemak keputusan SPM mereka untuk menentukan kelayakan akademik mereka. Pelajar perlu memilih jurusan berdasarkan kepada keputusan SPM mereka. Jika seseorang pelajar mempunyai keputusan yang baik dalam mata pelajaran sains, jurusan seperti perubatan, sains komputer, atau kejuruteraan mungkin menjadi pilihan yang sesuai.
Bincang dengan Pakar Pendidikan dan Profesional
Pakar pendidikan, kaunselor sekolah dan profesional boleh memberikan pandangan mengenai kelebihan dan kelemahan setiap jurusan, serta peluang pekerjaan dalam bidang tersebut. Pendekatan ini membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat dan memberi pandangan yang lebih jelas tentang pilihan karier mereka, memastikan kesesuaian dengan minat, bakat, dan aspirasi individu.
Teknologi dan Inovasi
Lepasan SPM boleh memilih jurusan yang berkaitan kemahiran dan teknologi terkini contohnya, bidang AI, pembelajaran mesin, dan analitik data adalah bidang yang sedang berkembang pesat dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran pekerjaan bagi memperoleh kemahiran yang relevan dan berkualiti untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan masa hadapan yang semakin kompleks dalam era digital.
Keupayaan kewangan
Beberapa jurusan mungkin memerlukan kos pengajian yang tinggi. Pelajar perlu membuat kajian terperinci mengenai kos pengajian, bantuan kewangan yang ada, dan kemampuan kewangan masing-masing. Jika kos pengajian jurusan tertentu terlalu tinggi dan melebihi kemampuan kewangan mereka, mereka perlu mencari alternatif atau mencari bantuan kewangan tambahan. Memahami aspek kewangan ini penting agar pelajar dapat membuat keputusan yang bijak tanpa menjejaskan kesejahteraan kewangan mereka dalam jangka panjang.
Program Latihan Industri
Mengambil bahagian dalam program latihan industri atau praktikal, contohnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dapat memberikan pengalaman praktikal yang berharga. Program TVET membolehkan mereka mendapatkan pendedahan langsung kepada kemahiran teknikal dalam bidang seperti kejuruteraan, pembinaan atau kejuruteraan elektrik.
TVET memberi mereka peluang untuk belajar secara langsung di bawah bimbingan profesional industri, memahami proses kerja sebenar, dan membina kecekapan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan. Pelajar juga dapat membina rangkaian profesional yang penting untuk memperluas peluang kerjaya mereka pada masa hadapan.
Gaya pembelajaran dan persekitaran
Setiap jurusan dan institusi pendidikan mempunyai pendekatan dan cara pembelajaran yang berbeza. Sesetengah pelajar mungkin lebih selesa dengan pendekatan pembelajaran praktikal dan berdasarkan projek seperti TVET, manakala yang lain mungkin lebih suka pembelajaran berdasarkan kuliah dan penyelidikan. Pelajar juga perlu mengambil kira lokasi dan keadaan fizikal institusi pendidikan yang mereka pertimbangkan, seperti kemudahan asrama, perpustakaan, makmal dan sokongan pelajar.
Memilih jurusan di IPT dengan prospek kerja masa depan adalah langkah penting bagi lepasan SPM. Faktor-faktor seperti prospek kerjaya, minat, kemahiran, kelayakan akademik, dan keupayaan kewangan harus dipertimbangkan secara teliti untuk membuat keputusan yang bijak yang akan membawa kepada masa depan yang berjaya.
Melalui proses pemilihan yang teliti dan berpandukan strategi yang sesuai, lepasan SPM dapat memastikan bahawa mereka memilih jurusan yang sesuai dengan potensi dan matlamat mereka.
Dalam era teknologi dan inovasi, memilih bidang yang berkaitan dengan kemahiran dan teknologi terkini adalah kunci untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan yang semakin kompleks dan digital. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.






