Sikap sebahagian dari kalangan anggota masyarakat yang sudah terbiasa dengan budaya dan amalan bertoleransi terhadap pelbagai salah laku seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di hadapan mata perlu dihentikan segera.
Jika kita mahu negara ini terus membangun dan maju dengan bermaruah maka sikap, pemikiran dan tingkah laku masyarakat juga perlu berubah seiring dengan cita-cita tersebut.
Sikap seperti kata peribahasa, lain di mulut, lain di hati yakni di hati mahu segala salah laku dihapuskan tapi berat mulut untuk menegur atau mencegahnya bukan sahaja boleh merugikan diri tapi organisasi, rakyat dan negara.
Pada hakikatnya tidak mungkin negara ini boleh maju dan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju lain andai sikap tidak peduli dan ambil kisah terhadap salah laku terus menghantui masyarakat kita.
Malah pembelaan terhadap golongan yang memerlukan bantuan juga akan terjejas kerana ada pihak yang salah guna kuasa dan mengaut semua yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat.
Budaya negatif dan tidak beretika dalam sesetengah organisasi seperti mengabaikan salah laku yang berleluasa secara terang-terangan dengan tidak ambil serius atau beranggapan sebagai suatu amalan biasa semakin menjadi duri dalam daging yang menghancurkan nilai dan prinsip organisasi tersebut.
Malah sikap seperti ini turut menyebabkan pelaku semakin bermaharajalela termasuk dapat rekrut ahli baharu dalam kalangan pekerja junior yang baru masuk kerja.
Hal ini akan berterusan kerana mereka yakin tidak akan dikenakan sebarang tindakan.
Akhirnya ini mewujudkan satu amalan yang cukup membimbangkan iaitu budaya salah laku yang sangat berstruktur dari atas hingga ke bawah sehingga terlalu sukar untuk dibendung dan ditangani.
Akibatnya juga, sebarang langkah-langkah intervensi mahupun pencegahan yang cuba dibuat tidak memberikan sebarang impak positif yang diharapkan.
Justeru, setiap individu yang diberikan amanah perlu memikul tanggungjawab dan memastikan organisasi melaksanakan tadbir urus dan tatakelola yang betul.
Dalam konteks ini, mewujudkan budaya berani menegur kesilapan atau kesalahan orang lain baik pegawai atasan mahupun rakan setugas yang didapati melakukan salah laku adalah satu keperluan yang wajib.
Lazimnya, kita terperangkap dengan situasi serba salah dan kurang menyenangkan seperti takut dikenakan tindakan, khuatir orang akan membalas dendam serta terikat dengan tuntutan keperluan untuk menghormati struktur hierarki dalam organisasi apabila mahu melaporkan suatu salah laku yang berlaku di depan mata.
Akibatnya, kita ambil jalan mudah dengan pejam mata dan abaikan sahaja salah laku tersebut sehingga akhirnya merebak menjadi virus yang sukar dikawal.
Jadi setiap organisasi perlu menzahirkan komitmen dengan meyakinkan warga kerja bahawa tidak akan berlaku sebarang toleransi terhadap salah laku, malah individu yang melaporkan salah laku akan dilindungi dan diberikan ganjaran yang selayaknya.
Pihak pengurusan organisasi perlu memiliki azam yang kuat untuk membanteras salah laku lantas membuktikan kepada semua warga kerja betapa mereka tidak akan bertoleransi sebaliknya akan dikenakan tindakan yang tegas termasuk buang kerja.
Selain itu, pihak pengurusan organisasi juga perlu meningkatkan tahap pengawasan dan pemantauan terhadap etika kerja kakitangan di semua peringkat.
Perlu ada mekanisme yang jelas dan efisien untuk memantau gerak geri dan tingkah laku staf terutamanya yang bertugas di bahagian yang sensitif yakni sentiasa terdedah kepada rasuah dan penyelewengan.
Dalam hal ini, pegawai penyelia perlu memainkan peranan secara efektif supaya dapat memantau tugasan anak buah sepanjang masa.
Di samping kita tidak mahu pegawai penyelia bersekongkol dengan anak buah yang melakukan salah laku, setiap penyelia juga tidak boleh berdiam diri jika ada yang terlibat dengan masalah integriti.
Hal ini penting kerana masih ada ketua yang cuba tutup masalah seperti rasuah dan penyelewengan yang berlaku kerana khuatir nama dan imej jabatan terjejas.
Sedar atau tidak tindakan ini bukan sahaja boleh menghancurkan masa depan organisasi sebaliknya akan meragut kepercayaan sebahagian besar warga kerja yang bekerja dengan penuh berdedikasi terhadap pihak pengurusan kerana melindungi individu yang membuat kesalahan.
Penerapan sifat tanggungjawab dalam kalangan warga kerja juga diyakini mampu membendung budaya toleransi atau mengabaikan salah laku.
Setiap warga kerja tanpa mengira jawatan dan kedudukan perlu berkongsi satu sifat yang penting ini demi menjaga maruah dan integriti diri serta organisasi.
Hal ini penting kerana kebanyakan kes salah laku yang didedahkan menunjukkan adanya pihak di sekeliling pelaku yang cuai, berdiam diri dan tidak laksanakan tanggungjawab moral dan sosial mereka terhadap diri dan organisasi.
Sikap tidak mahu menjaga tepi kain orang atau tidak mahu terlibat dengan sebarang masalah menyebabkan segala usaha untuk meningkatkan nilai integriti pekerja dan organisasi sering menemui kegagalan.
Justeru, setiap warga kerja perlu sedar betapa berdiam diri adalah satu sikap yang salah, tidak beretika dan tidak bermoral, malah wajar dilabel sebagai bersubahat dengan pelaku.
Pada masa sama, anggota masyarakat juga perlu pikul tanggungjawab untuk sama-sama cakna dan menghentikan budaya bertoleransi terhadap salah laku dengan memulakannya dari keluarga.
Sebagai contoh, suami atau isteri tidak boleh bertolak ansur jika ada di antara mereka terlibat sebarang aktiviti salah laku seperti rasuah sebaliknya terus tegur dan saling ingat mengingatkan.
Begitu juga dengan didikan terhadap anak-anak di mana mereka perlu diajar dan diasuh dengan disiplin yang tinggi supaya sentiasa bercakap benar, jujur dan amanah.
Jangan gunakan alasan sayangkan anak sehingga tidak menegur jika mereka melakukan sebarang kesalahan kerana perlu diingat sikap kita yang berdiam diri boleh menyebabkan anak beranggapan perbuatannya itu tidak salah dan akhirnya akan menjadi satu budaya dalam diri mereka.
Ironinya, bukan mudah untuk membentuk masyarakat yang jujur dan amanah apatah lagi berani menentang salah laku yang berlaku di depan mata namun percayalah ia tidak mustahil jika kita memiliki ilmu pengetahuan yang mencukupi terutamanya ilmu agama, tahap kesedaran terhadap tanggungjawab kepada rakyat dan negara serta semangat patriotik dan jati diri yang tinggi.
Memasuki tahun baharu 2025, marilah kita tanamkan azam untuk menoktahkan salah laku dan membina sebuah masyarakat dan negara Madani yang bermaruah. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).






