KEMBALI di penghujung tahun. Akan menjelma lagi tahun baharu, musim yang bersilih ganti.
Rutin peredaran waktu tetap berlalu walau tanpa diisi dengan apa yang patut dan yang diperlu.
Politik negara sudah berubah dari landskap sebelumnya. Malang, jika orang Melayu masih mengandaikan tiada keperluan untuk bangkit bersatu, berpadu demi mengukuh kedaulatan bangsa, kekuatan ummah.
Membina kekuatan bukan semestinya menunggu segalanya ranap dan runtuh sepenuhnya.
Waktu itu mungkin sudah terlewat untuk dibangunkan semula. Jadi, sikap beringat-ingat dan berwaspada sebelum parah adalah sebaik pedoman untuk diakur dan diberi perhatian.
Seiring berpandukan peribahasa Melayu… “Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”.
Tidak ada yang boleh dibangga, dianggap untung jika sekadar selesa pada daerah kelompok dan puak, kerana konteks kelegaan sebenar ialah apabila kedudukan bangsa dan agama pada umumnya tidak tergugat atau diganggu.
Ruginya kalau terus bertelagah, bersengketa, sedangkan agenda utama demi survival bangsa diketepikan.
Sepatutnya, perlu ada usaha menguatkan moral dan mutu kehidupan, selain ekonomi yang teguh, ilmu yang mantap, nilai setiakawan yang kukuh.
Wajar bercakap tentang politik, kerana ‘politik’ itu jaminan ‘kuasa’.
Barangkali masih ramai orang Melayu senang hati dengan wujudnya pelbagai jenama parti politik yang masing-masing anuti.
Padahal, sejak sekian lama, Melayu diperingatkan tentang “bersatu itu teguh bercerai itu roboh” dan “jangan sampai menang sorak kampung tergadai…”.
Orang Melayu harus faham, dengan peratusan bilangan yang tidak begitu jauh di hadapan, apa lagi cagaran kekuatan yang mereka ada, jika terus diracik dan dipecah-kecilkan.
Belajarlah dari pengalaman, dan perhitungkan senario yang ada. Jawapan tepat bagi persoalan politik semasa ialah tentang pemilikan jumlah kerusi yang selesa dan selamat.
Orang Melayu perlu memiliki jumlah kerusi yang cukup pada erti kata ‘sewajarnya’, untuk dapat mendominasi pemerintahan negara dengan stabil.
Jumlah kerusi yang bermajoriti kukuh menjamin tidak akan timbul sebarang ‘unsur ugutan’ atau suasana yang boleh menggugat pemerintahan.
Memperkatakan tentang keperluan mendominasi kuasa dan kekuatan bukan bermakna dengan niat untuk memusuhi, mencerobohi atau menafikan hak mana-mana kaum yang ada.
Apa yang penting ialah untuk menentukan kelangsungan kestabilan dan kemakmuran terus dapat sama-sama dinikmati.
Sementara, orang Melayu tetap mengharapkan kedudukan keistimewaan mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetap teguh, tidak dipersoal atau diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
Jangan persiakan kenangan indah sepanjang yang pernah dilalui dalam sejarah pemerintahan negara.
Lebih enam-dekad negara stabil makmur tanpa wujud ‘kecelaruan’ ketara. Malaysia aman, maju, makmur. Itu adalah sebuah kenyataan.
Yang baik boleh dijadikan pedoman, yang buruk perlu dijadikan pengajaran. Rakyat pada umumnya menerima struktur kehidupan bernegara dengan konsep “sama rasa sama jaya…”.
Tiada mana-mana pihak yang dinafikan hak untuk menjayakan kehidupan sedaya mungkin.
Ketika itu Barisan Nasional (BN) mendominasi pemerintahan negara. Bersama-samanya ada MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti kalangan Bumiputera di Sarawak dan Sabah.
Mereka menelusuri konsep atau pendekatan berkonsensus, bersederhana, berinklusif dan adil saksama.
Empat paksi ini ternyata berjaya mewujudkan suasana kehidupan yang damai dan selesa. Azimat besarnya ialah ‘bersederhana’.
Tidak berbangkit isu-isu mempersoal struktur asas negara, atau membuat tuntutan di luar batas yang sepatutnya.
Tidak salah kalau rakyat Malaysia kembali kepada ‘acuan asal’ (back to basic), jika itu dianggap wajar dan perlu.
Baguslah, jika BN sudah pun menyuarakan kesanggupan ‘meng-nyahkan’ unsur-unsur yang tidak digemari rakyat seperti bersikap ‘sombong’, menganggap rakyat yang mahu mereka, bukan mereka yang mahukan rakyat dan enggan melakukan perubahan.
“BN….terus harmonikan imej parti kalau mahu rakyat meletakkannya di hati”.
Sering disebut, Malaysia maju membangun dan mencapai kemakmuran dengan cara dan neraca pengukuran yang tersendiri.
Rakyatnya mampu membuktikan sikap bersatu hati dan sedia menerima hakikat yang seadanya.
Justeru, sebarang sikap melampau atau keterlaluan yang cuba diserapkan oleh mana-mana pihak perlu ditentang dan ditolak.
Sebarang bentuk ancaman atau elemen yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara perlu didepani secara ‘senada dan bersama’.
Contoh, dalam menghadapi isu kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan menangani unsur-unsur yang boleh ‘menjentik emosi’, mengeruhkan hubungan kaum atau agama.
Jangan bosan untuk sering berpesan dan menebar seruan supaya sebangsa seagama menjalin penyatuan, menghimpun ukhuwah dan kekuatan. Semua institusi perlu digerak melaksanakan tanggungjawab bersama ke arah menjayakan misi suci ini.
Institusi-institusi yang dimaksudkan termasuk keluarga, pendidikan, agama, jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Semoga tahun 2025 akan menempatkan politik negara pada suasana yang lebih segar dan harmoni. Negara perlukan kestabilan untuk terus memacu kemajuan.
Malaysia perlu mengelak dari turut mengalami resah dan kebimbangan ekoran perkembangan global yang tidak menentu baik dari segi sosial, ekonomi dan keselamatan.
Dalam perjuangan….sebaiknya, utamakan apa yang perlu diutamakan. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).






