“KEMAJUAN akal terbahagi dua bahagian: kemajuan kecerdasan dan kemajuan perasaan. Kemajuan perasaan dinamakan budi atau keutamaan dan kemajuan adab kesopanan kerana sopan santun itu hanya terdapat pada manusia tidak pada binatang.
Adapun adab terbahagi dua bahagian: pertama, adab di dalam dan kedua, adab di luar. Adab di luar adalah kesopanan pergaulan menjaga yang salah pada pandangan orang. Adab di luar itu berubah menurut perubahan tempat dan bertukar menurut pertukaran zaman termasuklah kepada hukum, adat istiadat, resam basi, dan lain-lain.” – Buya Hamka.
Antara adab atau susila yang paling mudah dalam kehidupan bermasyarakat adalah untuk menghormati hak mereka yang berada di persekitaran kita.
Kerana itu, apabila mana-mana orang dengan biadab bertindak menceroboh ke atas hak pemilikan seseorang, undang-undang membolehkan pencerobohan itu dihukum.
Hikmah menjaga adab ini sangat mudah: kerana manusia hidup dalam peradaban dan bukan seperti binatang di hutan.
Pun begitu, sejak beberapa minggu ini isu pencerobohan tanah tular dan diwacanakan dengan penuh minat. Jika bulan lalu, isu berkaitan dengan pembinaan rumah ibadat secara haram di atas tanah milik entiti lain diperkatakan.
Tirai bulan ini pula dibuka dengan membahaskan tindakan syarikat pemajuan dan pembinaan yang menceroboh masuk ke tanah rizab syarikat gergasi Petroleum Nasional Berhad (Petronas) sehingga kononnya menyebabkan kebocoran gas dan kebakaran besar-besaran di Subang Jaya.
Media berita melaporkan kebakaran dalam insiden itu mencecah 1,000 darjah Celcius apabila api marak menjulang lebih 30 meter ke udara dan berlarutan hingga lapan jam.
Setakat ini lebih 200 unit kediaman, lebih 300 unit kenderaan dan lebih 300 orang mangsa terkesan dalam kebakaran awal pagi yang menggencatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Setakat ini jumlah kerugian keseluruhan kesan daripada insiden ini masih belum dapat dinilai. Namun, siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran telahpun dimulakan dan masih diteruskan.
Bagi sebuah negara bangsa yang dipasakkan kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang, insiden bencana sebegini tidak seharusnya dipandang ringan dan harus ditangani dengan lebih tegas.
Apatah lagi apabila insiden sebegini berpunca daripada tindakan biadab menceroboh dan mampu meragut nyawa akibat tindakan cuai dan kegagalan pihak-pihak terlibat untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Bencana yang merisikokan keselamatan dan kehidupan penduduk setempat tidak sepatutnya dipandang ringan. Bukan hanya syarikat dan individu sahaja yang perlu mengambil langkah berjaga-jaga tetapi lebih utama lagi, setiap agensi kerajaan yang mempunyai kewajipan untuk memelihara keselamatan penduduk.
Ambil sahaja iktibar daripada insiden banjir besar di Taman Sri Muda pada lewat tahun 2021.
Meskipun kerajaan mengumumkan pendirian bahawa kejadian banjir adalah disebabkan ketentuan Tuhan atau Act of God dan di luar kawalan manusia, namun ramai yang menyuarakan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkan pembinaan projek taman perumahan di Kota Kemuning sebagai antara faktor yang menyebabkan sistem perparitan di kawasan Sri Muda terpaksa menampung bebanan tadahan air yang lebih daripada yang sepatutnya.
Meskipun sudah lebih tiga tahun saman sivil oleh 50 orang penduduk Taman Sri Muda difailkan terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. namun masih belum ada keputusan mahkamah yang mengikat PBT untuk bertanggungjawab ke atas kesan daripada banjir itu.
Begitu juga dengan iktibar daripada tragedi Highland Towers yang runtuh pada Disember 1993 sehingga mengakibatkan 48 kematian.
Pada 18 Februari 2006, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa mana-mana kerajaan tempatan mempunyai kekebalan dan dilindungi di bawah Seksyen 95(2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] daripada sebarang kerugian akibat daripada penilaian dan kelulusan yang diberikan di bawah Akta 133.
Ringkasnya, seksyen itu memperuntukkan bahawa pihak berkuasa negeri (PBN), PBT dan seseorang pegawai awam atau pekerja PBT tidak boleh menjadi tertakluk kepada apa-apa jua tindakan, tuntutan, tanggungan atau permintaan berbangkit daripada apa-apa kerja bangunan atau kerja lain yang dijalankan mengikut peruntukan Akta 133, atau mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawahnya, atas alasan bahawa kerja bangunan itu atau pelannya adalah tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan mereka.
Sebagai pihak yang diamanah untuk memastikan setiap pembangunan dan pembinaan di sesuatu kawasan dibuat dengan mengambil kira keselamatan, kesejahteraan dan kehidupan penduduk setempat, Seksyen 95 Akta 133 melepaskan mereka daripada menanggung liabiliti yang boleh dikaitkan jika mereka cuai menjalankan amanah mereka dengan baik.
Mungkinkah ini alasan mengapa PBN dan PBT tidak memandang peri penting memperketatkan kelulusan sebarang permohonan untuk membuat sebarang pembinaan?
Akhirnya setiap bencana dan tragedi yang merugikan rakyat tidak dipampas dan dilunaskan dengan baik.
Nyawa manusia dipertaruhkan demi mengejar pembangunan, kemajuan dan keuntungan semata-mata. Mana pergi adab yang diajar agama, bangsa dan undang-undang kita? – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).






