PADA awal pentadbiran Donald Trump, Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan perang tarif yang melibatkan negara-negara besar seperti China, Eropah dan sekutu-sekutunya. Keputusan Trump untuk mengenakan tarif tinggi terhadap barangan import telah mencetuskan perdebatan hebat di kalangan ahli ekonomi, penggubal dasar dan penganalisis global. Tindakan ini, yang dipromosikan dengan naratif untuk melindungi pekerjaan dan mengurangkan defisit perdagangan, sebenarnya membawa kesan buruk yang lebih besar terhadap ekonomi domestik dan ekonomi dunia secara keseluruhannya.
Tarif ini bukan hanya mengorbankan kepentingan rakyat AS, tetapi juga menjejaskan kestabilan ekonomi global, termasuk kesannya terhadap ekonomi Malaysia dan ASEAN secara keseluruhannya.
Salah Tafsir Tarif AS
Trump menyatakan bahawa defisit perdagangan yang melanda AS adalah hasil perdagangan yang tidak adil oleh negara lain yang telah memanipulasi perdagangan dengan cara yang merugikan AS. Hakikatnya, defisit perdagangan AS bukanlah akibat daripada penipuan negara lain, tetapi berpunca daripada faktor-faktor dalaman negara itu sendiri, seperti kelemahan dalam dasar fiskal dan ketidakmampuan untuk menabung. Kerajaan AS terus berbelanja lebih banyak daripada yang dihasilkannya. Perbelanjaan besar dalam sektor ketenteraan, subsidi kepada golongan kaya, serta ketidakcekapan dalam pengumpulan cukai menyumbang kepada peningkatan defisit ini.
Kesan Tarif terhadap Ekonomi Domestik
Salah satu kesan segera yang dapat dilihat daripada tarif ini adalah kenaikan harga barangan import. Pengguna AS yang sebelum ini menikmati harga yang lebih murah bagi barangan import seperti elektronik, pakaian dan makanan terpaksa membayar lebih tinggi akibat daripada tarif yang dikenakan.
Walaupun sesetengah pengguna mungkin beralih kepada barangan domestik, perubahan ini tidak selalunya menguntungkan kerana produk tempatan biasanya lebih mahal dan mungkin tidak setanding dari segi kualiti dan teknologi. Ini menjadikan kehidupan rakyat biasa lebih sukar dengan meningkatnya kos sara hidup.
Dalam masa yang sama, pengeluar domestik juga merasai kesan negatif daripada tarif tersebut. Syarikat-syarikat yang bergantung kepada bahan mentah atau komponen yang diimport terpaksa menanggung kos tambahan. Beberapa sektor, terutamanya dalam industri automobil dan elektronik, mula menghadapi kesukaran untuk bersaing dalam pasaran global. Kenaikan kos pengeluaran akibat tarif ini bukan sahaja mengurangkan keuntungan syarikat, tetapi juga mengurangkan keupayaan mereka untuk mengeksport barangan ke luar negara, yang seterusnya menyebabkan penurunan dalam aktiviti ekonomi.
Kesan Global dan Risiko Perang Perdagangan
Negara-negara seperti China, Kesatuan Eropah, Kanada dan Mexico telah mengambil langkah untuk membalas tindakan AS dengan mengenakan tarif mereka sendiri terhadap produk-produk AS. Ini mencetuskan ketegangan dalam hubungan perdagangan antarabangsa dan memulakan satu perang perdagangan yang boleh memberi impak yang meluas terhadap ekonomi dunia.
Dunia kini berdepan dengan risiko ketidaktentuan ekonomi yang lebih besar. Negara-negara yang bergantung kepada perdagangan bebas dan globalisasi akan menghadapi tekanan akibat daripada kenaikan harga dan gangguan dalam rantaian bekalan global. Perang perdagangan juga boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara-negara yang sedang membangun yang bergantung kepada eksport dan pelaburan asing. Kenaikan tarif akan menyebabkan penurunan permintaan terhadap barangan eksport dan ini boleh mengurangkan peluang pekerjaan serta mencetuskan ketidakseimbangan ekonomi yang lebih besar.
Kesan Tarif terhadap Ekonomi Malaysia dan ASEAN
Sebagai negara yang bergantung kepada eksport, Malaysia dan negara-negara ASEAN lain menghadapi risiko yang lebih besar daripada kenaikan tarif ini. Malaysia, yang merupakan salah satu negara pengeluar dan pengeksport utama dalam industri elektronik, automotif dan komoditi, akan berdepan dengan peningkatan kos pengeluaran apabila harga bahan mentah dan komponen import meningkat akibat tarif AS. Ini boleh mempengaruhi daya saing produk Malaysia di pasaran global.
Selain itu, negara ASEAN juga sangat bergantung kepada pasaran eksport utama seperti China dan AS. Kenaikan tarif ini boleh menyebabkan pengurangan permintaan terhadap barangan eksport ASEAN, terutamanya dalam sektor elektronik, automotif dan produk pertanian. Negara-negara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia yang turut menjadi pengeksport utama dalam sektor-sektor ini akan menghadapi cabaran besar apabila pasaran utama mereka terjejas.
Perang perdagangan ini juga boleh memberi kesan kepada aliran pelaburan asing langsung (FDI). Negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, telah lama menarik pelaburan asing terutamanya dalam sektor pembuatan. Namun, ketidaktentuan yang ditimbulkan oleh tarif Trump dan langkah balas daripada negara-negara lain mungkin menghalang pelabur asing untuk melabur dalam projek jangka panjang. Keadaan ini boleh mengurangkan peluang pekerjaan di negara ASEAN dan merencatkan pertumbuhan ekonomi serantau.
Selain itu, negara-negara ASEAN juga akan terkesan dengan gangguan dalam rantaian bekalan global. ASEAN merupakan pusat pembuatan global, dengan banyak syarikat multinasional yang menggunakan rantai bekalan yang melibatkan negara-negara di rantau ini. Kenaikan tarif oleh AS dan tindakan balas dari negara-negara lain boleh menyebabkan gangguan dalam pengaliran barangan dan bahan mentah, yang akhirnya menjejaskan pengeluaran dan eksport negara-negara ASEAN.
Kesan Negatif yang Menanti
Tarif yang dikenakan oleh Trump mungkin dilihat sebagai strategi perlindungan ekonomi, tetapi dalam realitinya ia lebih menyerupai taktik populis yang mengaburi kegagalan dasar fiskal yang lebih besar. Rakyat AS akan menanggung beban harga yang lebih tinggi, pengeluar domestik akan kehilangan pasaran eksport dan ekonomi global akan berdepan dengan ketidakstabilan yang tidak perlu. Tindakan ini mencerminkan kegagalan dasar ekonomi yang lebih besar dan menambahkan lagi jurang perbezaan kekayaan dalam negara. Trump mungkin melaungkan slogan America First, tetapi keputusan ini membawa kesan buruk yang lebih besar kepada rakyat dan ekonomi dunia secara keseluruhan. Dalam erti kata lain, America First telah menjadi People Last. Oleh itu, adalah penting bagi negara-negara untuk kembali kepada prinsip perdagangan yang adil dan bebas serta mengelakkan keputusan ekonomi yang dibuat berdasarkan ego dan retorik populis tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap rakyat dan dunia. – UTUSAN
ABU Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Forum Ekonomi Manusiawi.






