SAUDARA PENGARANG,
ENAM tonggak utama konsep Malaysia Madani yang baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu adalah kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Enam tonggak ini dijangka mencorak hala tuju negara sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera, khususnya dalam memacu semula pembinaan ekonomi dan kesejahteraan insan agar kembali gemilang di persada dunia.
Oleh itu, semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang ekonomi, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar harus memainkan peranan dalam merealisasikan konsep Malaysia Madani.
Semua kakitangan kerajaan harus memahami matlamat konsep Malaysia Madani dan perlu bijak memadankan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing yang ingin dicapai pada tahun ini.
Bagaimanapun, pencapaian Malaysia Madani di setiap kementerian dan agensi berhadapan dengan cabaran apabila terdapat kakitangan yang tidak mempunyai semangat kerja berpasukan.
Individu sebegini juga dikenali sebagai mereka yang mempunyai mentaliti silo. Mereka mengutamakan cara kerja berseorangan dan selalunya hanya mementingkan segala bentuk pulangan dan ganjaran yang bakal diperolehi kelak secara peribadi.
Individu dengan mentaliti silo ini selalunya mengamalkan sifat berkira-kira, tidak matang dan hanya ingin melakukan kerja di dalam skop hakiki sahaja. Jika diberi tugasan luar skop, sudah pasti banyak dalihnya.
Sekiranya mengetahui rakan sekerja masih dibebani kerja tambahan, mereka juga pura-pura tidak mengetahui dan tidak berpegang kepada prinsip ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
Konsep Malaysia Madani mengajak masyarakat agar meletakkan noktah pada sifat penting diri sendiri agar dapat membina bangsa yang lebih menyeluruh.
Kumpulan individu sebegini juga sudah terbiasa di dalam zon selesa mereka dan sukar untuk berubah. Mereka berasakan apalah perlu untuk mengubah sesuatu yang sudah sebati dan selesa, lebih-lebih lagi sekiranya tiada pulangan segera.
Justeru, ramai di dalam kumpulan ini mungkin sudah terbiasa bekerja secara sambil lewa, menyiapkan kerja acuh tak acuh, menolak peluang berhadapan cabaran baharu serta enggan memberi komitmen.
Bahkan, ada dalam kalangan mereka ini sanggup mengamalkan cara kerja tidak sihat, dengan mengambil kredit atas hasil kerja orang lain. Ini khususnya boleh berlaku kepada mereka yang mempunyai pekerja di bawah seliaan mereka atau pekerja kategori sokongan.
Sebagai contoh, mengarahkan pekerja seliaan melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan sendiri oleh mereka atas alasan delegasi tugas.
Sudah pasti di dalam situasi sebegini yang mendapat nama dan pujian, sudah pasti mereka, bukannya golongan yang berhempas-pulas membuat kerja.
Individu dengan mentaliti silo akan sedaya upaya mengelakkan daripada memilih bahagian kerja yang besar dan berat.
Namun, apabila projek terbabit selesai dilaksanakan, individu ini akan cuba menjaja diri seumpama beliau yang layak mendapat pujian atas kejayaan projek tersebut.
Di sebaliknya juga, sekiranya berlakunya kegagalan atau masalah terhadap sesuatu kerja itu, individu sebegini akan cepat menuding jari dan menhumbankan faktor kegagalan kepada pihak lain, selain diri sendiri.
Demi mendukung hasrat murni konsep Malaysia Madani, adalah disarankan individu yang mempunyai mentaliti silo dan individualistik ini agar mengikis bahkan meninggalkan budaya tidak sihat ini demi kepentingan semua pihak. – UTUSAN
DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor






