SAUDARA PENGARANG,
SLOGAN Perlis damai dan menawan dipilih menjadi slogan Tahun Melawat Perlis 2024, menjanjikan panorama alam serta gunungganang yang menghijau, udaranya nan bersih serta kabus menghiasi pemandangan pagi.
Khusus buat pencinta alam, Perlis merupakan destinasi yang dicari dengan pelbagai tempat riadah dan rekreasi yang indah seperti Bukit Cenderawasih, Wang Kelian Viewpoint, Bukit Chabang, Taman Agrovet, Gua Kelam, Bukit Ayer, Bukit Jernih dan Gunung Medan.
Kampung Wai di Kuala Perlis menjanjikan pengalaman menelusuri bukit kapur berusia 500 juta tahun melalui aktiviti berkayak atau menaiki bot kecil. Air terusan di sini berwarna kehijauhijauan dengan pemandangan bukit-bukau batu kapur.
Lokasi seterusnya yang menjadi pilihan pencinta alam ialah Wang Kelian View Point apabila pengunjung dapat menikmati udara segar di atas bukit Wang Kelian sambil melihat panorama serta ditemani fenomena awan gulung iaitu kabus pagi yang terlihat seperti awan.
Bukan itu sahaja, terdapat banyak pilihan buat pengunjung sekiranya ingin mendapatkan pemandangan indah sekitar Perlis di lokasi yang berbeza seperti di Gunung Medan, Utan Aji, pengunjung boleh beriadah dengan berjoging untuk sampai ke atas ataupun menaiki perkhidmatan van yang disediakan.
Uniknya, terdapat sebuah kafe berkonsepkan minimalis di atas Gunung Medan membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam sambil bersantai dengan ahli keluarga. Tasik Timah Tasoh juga menjadi pilihan pengunjung untuk bersiar-siar dengan menaiki basikal ataupun skuter elektrik mengelilingi tasik, selain disediakan juga taman permainan dan kereta api bergerak buat anak-anak.
Dusun Nakawan memberikan banyak pilihan tempat duduk selain kerusi biasa seperti bersila di atas para dan makan di atas buaian. Pelbagai pilihan santapan seperti peknga, nasi lemak dan pulut mempelam serta makanan barat seperti Chicken Chop dan bebola daging.
Ngulang Kopitiam menjanjikan suasana klasik kembali ke tahun 60-an. Kopitiam ini beroperasi daripada sebuah rumah tradisional yang dibeli oleh pemiliknya dan dibina semula. Rumah ini dihiasi dengan barang-barang antik seperti telefon lama, koleksi majalah lama, pinggan mangkuk dan mesin taip yang menambahkan ciri khas kedai ini.
Pulau Ketam merupakan produk perlancongan baharu yang menyajikan pemandangan landskap berlatarbelakangkan kepulauan Langkawi dan perkampungan nelayan serta terdapat hutan paya bakau yang digazetkan sebagai hutan simpan dan menjadi habitat kepada hidupan akuatik yang secara tidak langsung dapat memelihara ekosistem sejagat.
Terdapat sederet kedai makan yang didirikan sepanjang pulau ini dengan pilihan makanan yang pelbagai seperti jagung bakar, lokcing dan laksa lemak udang lipan. Jadi, tempat ini merupakan tempat healing dan berswafoto yang indah ditambah dengan keasyikan angin pantai yang menderu sambil pengunjung menikmati santapan.
Perlis jelas mempunyai daya penarik yang tersendiri buat pengunjung yang mahukan ketenangan dan jauh daripada suasana hiruk-pikuk bandar.
Jemputlah ke Perlis agar rakyat negeri ini dapat berbagi kasih sayang daripada ketenangan yang diwujudkan Allah melalui kehijauan bukit-bakau, air terjun dan sawah padi. Bak kata pepatah kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. – UTUSAN
HAFIZATUL AFIQAH KHAIRUL HAFIZ
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)






