SAYA ingin memohon keprihatinan Perdana Menteri ke-10 atau PMX untuk melihat seluruh agensi-agensi kerajaan (GLC) atau badan-badan berkanun kerajaan yang saya lihat sebahagian pengerusinya secara rakus mengurus agensi tersebut seakan harta keluarga mereka sendiri.
Faktor umur lanjut usia tapi masih terus lagi berkhidmat di beberapa agensi-agensi kerajaan seakan menutup peluang jawatan bawahan untuk dinaikkan pangkat atau kedudukan. Apakah tidak ada had umur untuk berhenti berkhidmat di agensi-agensi kerajaan tersebut? Cemerlang sangatkah mereka sehingga perlu disambung kontrak perkhidmatan?
Ramai lagi anak-anak muda yang berpengetahuan luas serta berkemahiran tinggi yang boleh meningkatkan mutu perkhidmatan lebih baik jika diberi peluang untuk menerajui agensi-agensi kerajaan, namun kerakusan pegawai-pegawai di kedudukan tertinggi (seperti pengerusi GLC) melobi untuk terus disambung perkhidmatan pegawai-pegawai kegemaran mereka, perkara ini amat-amat mengecewakan saya dan ramai lagi anak-anak muda.
Saya ambil contoh di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pegawai tertingginya masih melobi untuk disambung perkhidmatan mereka selama dua tahun lagi. Apakah akan hancur agensi tersebut jika beliau tidak lagi berkhidmat? Juga di Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC), masih berharap kepada kepimpinan telah lanjut usia. Malah kelayakan pendidikan mereka di kedudukan atasan juga tidak ada dalam bidang telekomunikasi atau multimedia dan langsung tiada kualiti untuk bercakap dalam bidang telekomunikasi dan melobi agar disambungkan kontrak tambahan lagi dua tahun.
Malah usaha lobi mereka telah diterima oleh ahli-ahli suruhanjaya. Apakah sudah tidak ada orang muda di luar yang berkemahiran tinggi untuk menerajui MCMC?
Maklumat terkini yang saya terima dari rakan-rakan dalam pertubuhan perbankan kerajaan, ada juga ahli lembaga pengarah yang telah melebihi syarat usia maksimum 70 tahun namun diam-diam disambung kontraknya yang juga telah dua kali diberi lanjutan kontrak. Kini umur ahli lembaga tersebut sudah hampir 73 tahun. Apakah akan berkhidmat sehingga akhir usianya? Tiadakah orang yang boleh menggalas tugas tersebut ataupun ia disambung atas agenda orang-orang tertentu. Ada yang masih melobi untuk disambung kontrak. Apakah tidak diberi peluang kepada ahli-ahli korporat bijak pandai lain untuk menjadi ahli lembaga bank? Saya yakin jika diberi peluang orang-orang yang berkelayakan menerajui perbankan kerajaan ini, mungkin perbankan tersebut akan lebih cemerlang dan menerima keuntungan lebih tinggi tanpa ada agenda pengerusi atau CEO untuk kepentingan diri mereka sendiri.
Ini belum lagi saya ceritakan di Felda dan Felcra yang kepimpinan tertinggi mereka masih melobi untuk disambungkan perkhidmatan mereka. Cukup-cukuplah untuk terus melobi. Bagilah peluang kepada orang yang lebih berkelayakan.
Jika pegawai-pegawai ini terus disambung perkhidmatan melebihi umur atau dua kali tempoh, banyak tatacara agensi akan dilanggar dan dirosakkan dengan rasuah. Ini yang perlu kerajaan elakkan dalam menyambung kontrak-kontrak perkhidmatan melebihi tempoh yang dihadkan.
Tolonglah PMX. Hentikanlah apa yang sedang berlaku ini. Jangan kerajaan hari ini dicemuh dikemudian hari atas kegagalan menghalang perkara ini berlaku.
Saya amat yakin, kenyataan saya ini disokong oleh sebahagian besar penjawat awam serta kakitangan di semua agensi-agensi berkaitan dengan kerajaan.
Berilah peluang kepada orang muda atau orang baharu untuk menerajui ke kepimpinan agensi-agensi kerajaan. – UTUSAN
DATUK RAHMAT MESLANI
Rakyat Prihatin






