KAMPUNG Buluh di Hulu Terengganu telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Rela Malaysia manakala dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Kebangsaan Kemat turut dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani.
Lebih istimewa, Lokman Effendi Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) adalah bekas pelajar sekolah tersebut pada tahun 1977 hingga 1981.
Program ini merupakan salah satu manifestasi kerajaan dalam Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat”, yang bermatlamat merapatkan jurang pembangunan antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, dan capaian internet dapat dipertingkatkan melalui pendekatan menyeluruh di setiap kampung yang terpilih.
Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pelaksanaan program ini melibatkan 200 buah kampung sepanjang tahun ini.
Rela Malaysia telah merancang untuk melaksanakan program seperti berikut:
- Penyelenggaraan dan naik taraf saliran dan longkang di sekitar kawasan Kampung Buluh, Hulu Terengganu
- Penyelenggaraan, penurapan semula dan naik taraf seperti pembesaran jalan di beberapa jalan di kawasan Kampung Buluh, Hulu Terengganu
- Pemasangan lampu limpah atau lampu solar di beberapa kawasan dan kemudahan awam di Kampung Buluh, Hulu Terengganu
- Naik taraf wakaf komuniti kampung di beberapa kawasan-kawasan yang strategik
- Kerja-kerja penyelenggaraan untuk mengelakkan hakisan tanah
- Naik taraf fasiliti sukan di Kampung Buluh, Hulu Terengganu
- Naik taraf kawasan meletak kenderaan di surau dan dataran kejat
- Program kemasyarakatan bersama penduduk setempat
Rela Negeri Terengganu turut menawarkan program Khidmat Bakti Rela Madani menggunting rambut, perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal, dan buat julung kalinya memperkenalkan pemeriksaan gajet secara percuma oleh Rela, pameran dan perkhidmatan dari agensi sahabat serta Jualan Rahmah. – UTUSAN
JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA)






