SERAMAI 50 orang peserta dari seluruh rantau ASEAN dan Malaysia akan berkumpul di Kuala Lumpur bagi menghadiri seminar dua hari bertajuk “Membangunkan Modul Latihan Tangani Berita Palsu di ASEAN”, yang akan berlangsung dari 1 hingga 2 Oktober 2025.
Seminar ini merupakan inisiatif penting bagi membincangkan serta membangunkan modul latihan komprehensif untuk memerangi penyebaran berita palsu, isu global yang kian meruncing dan mengancam kestabilan sosial, ekonomi, serta politik di peringkat serantau. Seiring perkembangan teknologi digital dan media sosial, berita palsu mampu tersebar dengan pantas, memberi kesan besar terhadap persepsi masyarakat, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap media arus perdana.
Kehadiran peserta merangkumi wakil media, ahli akademik, dan pihak berkepentingan lain yang terlibat secara langsung dalam bidang komunikasi dan maklumat. Penglibatan aktif semua pihak dijangka membuka ruang untuk pertukaran idea, perkongsian pengalaman, dan perumusan strategi berkesan dalam menghadapi cabaran penyebaran maklumat palsu yang semakin kompleks.
Sepanjang penganjuran, para peserta akan terlibat dalam pelbagai sesi termasuk bengkel interaktif, perbincangan panel bersama tokoh industri, serta pembentangan oleh pakar dalam bidang verifikasi fakta, literasi media digital, psikologi komunikasi, dan perundangan berkaitan berita palsu. Fokus utama seminar adalah mengenal pasti amalan terbaik antarabangsa dalam kalangan pengamal media serta menyesuaikannya mengikut konteks ASEAN.
Seminar ini turut menekankan aspek pembangunan kapasiti dan kolaborasi rentas negara. Dengan wujudnya modul latihan serantau, wartawan, editor dan pengamal media di ASEAN akan dilengkapi dengan kemahiran baharu untuk mengenal pasti, menangkis dan melaporkan berita palsu secara bertanggungjawab. Modul ini juga dijangka menjadi rujukan kepada institusi pengajian tinggi serta badan latihan media di seluruh rantau.
Hasil seminar ini akan menjadi asas kepada pembangunan modul latihan menyeluruh yang bakal digunapakai secara meluas di peringkat ASEAN. Modul tersebut diharap dapat meningkatkan keupayaan media serantau dalam melindungi masyarakat daripada maklumat salah, mengukuhkan integriti kewartawanan, serta memperkukuh keyakinan awam terhadap media.
Penganjuran seminar ini sekaligus menegaskan komitmen Malaysia bersama negara anggota ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau, mempertingkatkan literasi media, dan memastikan masyarakat mendapat akses kepada maklumat yang tepat, telus dan sahih. – UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR)






