PENULIS berasa terpanggil untuk mengulas mengenai cadangan pihak berkuasa tertentu di negara ini untuk membenarkan orang awam membawa haiwan peliharaan mereka ke pusat beli-belah.
Situasi ini tidak ubah seperti yang berlaku di negara lain yang penduduk majoritinya terdiri daripada bukan Islam.
Umumnya, rakyat Malaysia dan antarabangsa amat memahami sensitiviti orang Islam terhadap haiwan peliharaan tertentu.
Pusat beli-belah adalah tempat yang dikunjungi ramai orang dan bukan kawasan rekreasi. Justeru, dalam konteks masyarakat Malaysia maka tidak wajarlah kompleks beli-belah menjadi tempat ‘beriadah’ haiwan peliharaan meskipun ada peraturan tertentu yang ditetapkan.
Menurut berita yang bertajuk ‘MBPP teliti kesesuaian pusat beli-belah mesra haiwan’, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran dipetik sebagai berkata, pada masa ini pihak majlis tidak mempunyai satu peraturan khusus mengenai kebenaran membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah.
Katanya, MBPP sedang meneliti kesesuaian pelaksanaannya dengan mengambil kira kepentingan awam serta keharmonian masyarakat berbilang kaum susulan kebimbangan mengenai sensitiviti umat Islam serta untuk kepentingan semua pihak.
Penulis berpendapat cadangan ini tidak wajar kerana pusat beli-belah dikunjungi ramai masyarakat Islam yang akan berasa tidak selesa bertembung dengan haiwan peliharaan seperti anjing terutamanya dalam lif, eskalator mahupun di ruang legar pejalan kaki apatah lagi di medan selera.
Pastinya pandangan peniaga dan pengunjung Islam harus diambil kira dalam pertimbangan untuk membenarkan haiwan peliharaan dibawa ke pusat beli-belah.
Kita tentunya memahami hasrat pengunjung bukan Islam untuk membawa haiwan tertentu ‘berjalan-jalan’ di kompleks perniagaan tetapi sebagai rakyat Malaysia, mereka perlu juga menghormati pantang-larang masyarakat lain.
Bawalah haiwan ‘bersiar-siar’ di kawasan yang terbuka seperti padang dan taman rekreasi yang lebih sesuai untuk haiwan berkenaan.
Tempat membeli-belah tidak sesuai untuk haiwan peliharaan walaupun situasi sedemikian didapati sesuai dan lebih bebas di negara lain.
Kebenaran membawa haiwan peliharaan ini kemungkinan akan menyebabkan berlaku kebimbangan dalam kalangan orang Islam yang turut mengunjungi pusat beli-belah terutama pada hujung minggu, cuti umum atau musim perayaan. – UTUSAN
Razak Rashid Ghows






