KEWUJUDAN kedai dobi layan diri 24 jam sememangnya memberikan kemudahan kepada masyarakat yang menjalani kehidupan serba pantas. Namun, di sebalik kemudahan itu, masih wujud kelemahan yang sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna, iaitu tahap kesedaran sivik segelintir individu.
Baru-baru ini, saya berdepan situasi yang mengecewakan apabila sebuah mesin pengering yang hanya memerlukan masa 24 minit untuk melengkapkan kitaran dibiarkan begitu sahaja selepas selesai digunakan.
Pemilik pakaian tidak kelihatan, menyebabkan pengguna lain terpaksa menunggu lama walaupun mesin tersebut sudah boleh digunakan.
Tempoh 24 minit bukanlah terlalu lama sehingga seseorang perlu meninggalkan premis untuk tempoh berjam-jam.
Sikap sebegini bukan sahaja menyusahkan pengguna lain, malah mencerminkan kurangnya rasa tanggungjawab terhadap kemudahan yang dikongsi bersama.
Setiap orang mempunyai urusan dan kekangan masa tersendiri. Oleh itu, menghormati masa orang lain seharusnya menjadi budaya bersama.
Di beberapa negara seperti Jepun dan Eropah, disiplin serta kesedaran terhadap hak pengguna lain menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Pemilik pakaian lazimnya berada di premis beberapa minit sebelum kitaran tamat. Jika pakaian masih ditinggalkan, pengguna seterusnya boleh mengalihkannya ke dalam bakul yang disediakan tanpa menimbulkan pertikaian.
Di negara kita pula, tindakan sedemikian kadangkala menimbulkan rasa serba salah kerana bimbang disalah anggap atau mencetuskan pertengkaran. Namun, apabila perkara itu berulang, pengguna akhirnya terpaksa mengalihkan pakaian yang siap ke dalam bakul bagi membolehkan orang lain menggunakan mesin berkenaan.
Sebenarnya, keadaan ini boleh dielakkan sekiranya setiap individu lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa. Jika menggunakan dobi layan diri, pastikan kita kembali sebelum kitaran selesai. Mudah sahaja prinsipnya, hormatilah masa orang lain jika mahu masa kita turut dihormati.
Kemajuan sesebuah negara bukan sekadar diukur melalui bangunan moden dan teknologi canggih tetapi turut dinilai melalui akhlak, disiplin serta budaya masyarakatnya.
Semoga kita dapat membentuk masyarakat Malaysia yang benar-benar bertaraf dunia, bukan sahaja dari segi kemudahan yang dinikmati tetapi juga melalui sikap dan nilai sivik yang diamalkan.-UTUSAN
PENGGUNA PRIHATIN
Klemeru, Ipoh, Perak






