REALITI hari ini menunjukkan ramai graduan menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan.
Walaupun memiliki pencapaian akademik yang cemerlang, ramai yang dikatakan ‘manja’, kurang berdikari, dan gagal bertahan lama di tempat kerja.
Ini menimbulkan persoalan: Apakah yang kurang dalam kalangan graduan kita? Jawapannya terletak pada keperluan untuk menguasai pelbagai kemahiran yang menjadi kunci utama kebolehpasaran dan kelangsungan kerjaya mereka dalam industri.
Industri masa kini tidak lagi hanya menilai graduan berdasarkan gred atau sijil semata-mata.
Majikan lebih cenderung memilih graduan yang mempunyai gabungan kemahiran teknikal dan insaniah (soft skills) yang tinggi, kerana mereka memerlukan pekerja yang mampu menyesuaikan diri, menyelesaikan masalah dan bekerja dalam pelbagai situasi. Graduan yang multi-skilling lebih mudah mendapat pekerjaan, kekal relevan dan mampu bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Kemahiran Yang Diperlukan
- Komunikasi
Menyampaikan idea dengan jelas, berinteraksi dengan pelbagai pihak, serta mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan produktiviti organisasi. - Kepimpinan
Tunjukkan potensi sebagai pemimpin, mampu menggalas tanggungjawab, memotivasikan rakan sekerja dan membuat keputusan yang bijak. - Kerja Berpasukan
Kejayaan organisasi banyak bergantung kepada keupayaan pekerja untuk bekerjasama. Graduan perlu menjadi team player yang komited, mampu membina hubungan positif dan menyumbang kepada kejayaan kumpulan. - Penyelesaian Masalah
Dunia kerja penuh cabaran yang memerlukan graduan berfikir secara kritis dan kreatif untuk mencari penyelesaian, membolehkan mereka bertindak secara proaktif dan berdikari tanpa terlalu bergantung kepada arahan. - Kemahiran Pengurusan
Pengurusan masa, tugas, dan sumber sangat penting untuk memastikan kerja berjalan lancar dan berkualiti. - Kemahiran Teknikal dan Digital
Kuasai kemahiran teknikal yang relevan dengan industri seperti pengaturcaraan, analisis data, atau penggunaan teknologi terkini.
Tangani Persepsi Graduan ‘Manja’
- Ubah Sikap dan Mentaliti
Graduan perlu mengubah mentaliti daripada hanya mengejar sijil kepada membina kemahiran hidup dan kerjaya. Sikap mudah putus asa, tidak tahan cabaran, dan terlalu memilih pekerjaan perlu diubah kepada sikap proaktif, sanggup belajar, dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu. - Bina Daya Tahan dan Ketahanan Diri
Dunia pekerjaan penuh tekanan dan persaingan. Graduan perlu membina daya tahan, ketahanan emosi, dan keupayaan menyesuaikan diri agar tidak mudah ‘cabut lari’ atau berhenti kerja hanya kerana berdepan kesukaran.
Graduan yang multi-skilling bukan sahaja menjadi pilihan utama majikan, malah mampu membina kerjaya yang kukuh dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Sepanjang tempoh pengajian, graduan perlu bijak mengambil peluang untuk menambah kemahiran pelbagai, bukan sekadar mengejar gred.
Dengan gabungan kemahiran insaniah, teknikal dan sikap positif, graduan pasti mampu ‘menjual diri’ dalam industri serta menjadi aset berharga kepada organisasi dan negara.
Graduan masa kini perlu sentiasa berusaha memperkasa diri dengan pelbagai kemahiran agar kekal relevan, berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan dinamik. – UTUSAN
DR. ANIM ZALINA AZIZAN
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)






