PERNAHKAH anda berdepan situasi apabila makanan yang baru dibeli dirampas seekor kera dalam sekelip mata? Bagi sesetengah warga kampus yang dikelilingi kawasan hijau dan habitat semula jadi, kejadian sebegini bukan lagi sesuatu yang asing.
Kehadiran monyet ekor panjang (Macaca fascicularis) di sekitar kampus semakin lazim, khususnya di kawasan berhampiran hutan atau mempunyai litupan hijau yang luas.
Walaupun spesies ini merupakan sebahagian daripada ekosistem semula jadi, namun interaksi yang semakin kerap dengan manusia menimbulkan pelbagai gangguan terhadap keselamatan, kebersihan dan keselesaan komuniti universiti.
Antara kejadian yang sering dilaporkan termasuk kehilangan barangan peribadi, terutama pakaian yang disidai di kawasan terbuka.
Dalam beberapa kes, kera dilihat menceroboh kawasan ampaian di kolej kediaman sebelum membawa pakaian ke tempat lain. Walaupun situasi sedemikian kadangkala dianggap lucu, namun pelajar tetap berdepan kerugian dan kesulitan.
Gangguan turut berlaku apabila haiwan berkenaan memasuki bilik asrama yang tidak ditutup dengan sempurna. Barang peribadi boleh berselerak, rosak atau dibawa pergi. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman, malah boleh mencetuskan rasa takut apabila pelajar berdepan haiwan yang agresif dalam ruang sempit.
Kecurian makanan pula menjadi antara masalah paling kerap berlaku. Kera yang sudah terbiasa dengan kehadiran manusia akan mengambil kesempatan terhadap makanan yang dibawa, ditinggalkan atau dibuang. Keadaan ini boleh menyebabkan kerugian, selain meningkatkan risiko kecederaan akibat gigitan atau cakaran ketika haiwan cuba mendapatkan makanan.
Namun begitu, adakah wajar semua kesalahan diletakkan kepada kera? Persoalan ini perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas. Banyak kawasan universiti dibangunkan di lokasi yang dahulunya merupakan habitat semula jadi pelbagai spesies.
Apabila pembangunan berkembang, kawasan hutan semakin mengecil dan terpisah, sekali gus mengurangkan sumber makanan semula jadi. Kera akhirnya menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan mencari makanan di kawasan yang didominasi manusia.
Dalam konteks ini, konflik yang berlaku bukan sekadar kisah haiwan ‘menceroboh’ ruang manusia tetapi turut mencerminkan perubahan landskap yang telah mengehadkan habitat asal mereka.
Kera juga mempunyai fungsi penting dalam ekosistem, termasuk membantu penyebaran biji benih yang menyokong proses remenerasi hutan. Oleh itu, usaha menghapuskan populasi secara menyeluruh bukan penyelesaian mampan dan berpotensi menjejaskan keseimbangan alam.
Pada masa sama, tabiat memberi makanan kepada kera, sama ada secara sengaja atau atas dasar kasihan, turut memburukkan keadaan. Apabila haiwan terbiasa memperoleh makanan daripada manusia, mereka mula menganggap kawasan kampus sebagai sumber makanan mudah. Lama-kelamaan, kera menjadi lebih berani menghampiri kediaman, kafeteria dan ruang awam, malah boleh menunjukkan tingkah laku agresif apabila makanan tidak diberikan.
Justeru ‘sedekah makanan’ kepada haiwan liar sebenarnya boleh mengubah tingkah laku semula jadi mereka dan meningkatkan kebergantungan terhadap manusia. Tindakan yang kelihatan baik pada awalnya akhirnya boleh mencetuskan konflik yang lebih serius.
Pihak universiti juga perlu memainkan peranan melalui pengurusan yang sistematik. Antaranya termasuk menyediakan tong sampah berkunci, meningkatkan kutipan sisa makanan, memasang papan tanda larangan memberi makanan serta mengenal pasti kawasan tumpuan konflik.
Kerjasama berkala dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga penting bagi memastikan pengurusan populasi dilakukan secara berkesan dan beretika.
Kesimpulannya, konflik manusia dan kera di kampus bukan sekadar isu gangguan haiwan liar tetapi mencerminkan hubungan kompleks antara pembangunan dengan kelestarian alam.
Pendekatan yang seimbang perlu diterapkan bagi melindungi keselamatan manusia tanpa mengabaikan kepentingan ekosistem. Dengan kesedaran, disiplin dan pengurusan yang baik, kita mampu mewujudkan kampus yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut harmoni dengan alam sekitar. –UTUSAN
AYU AZNYZAN MAHRULNIZAM & PROFESOR MADYA DR. HASMAHZAITI OMAR
Institut Sains Biologi,
Universiti Malaya






