KEMERDEKAAN sesebuah negara adalah anugerah paling berharga. Guru sebagai pendidik boleh memainkan peranan dalam meningkat semangat kemerdekaan dan jati diri pelajar.
Dari sudut sejarah, penubuhan Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) pada 11 April 1946 membela hak bangsa serta menolak dasar-dasar kolonial yang merugikan pendidikan tempatan.
Ini menunjukkan bahawa kaum guru telah lebih awal membela hak bangsa dan menolak dasar-dasar kolonial yang merugikan bangsa.
Selepas kemerdekaan, peranan guru bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu, sebaliknya turut bertanggungjawab menyemai semangat patriotisme, kecintaan terhadap negara dan kesedaran tentang pentingnya mempertahankan kemerdekaan.
Guru mempunyai kedudukan yang strategik untuk membentuk pemikiran murid agar mereka memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut merangkumi kebebasan untuk menuntut ilmu, membina kehidupan yang lebih baik dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Dalam menghadapi perubahan dunia yang begitu pantas, guru perlu memastikan generasi muda tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga memahami sejarah perjuangan bangsa serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu.
Dalam konteks ini, penghayatan terhadap sejarah, bahasa kebangsaan, Rukun Negara dan nilai perpaduan perlu terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan.
Cabaran guru hari ini mungkin berbeza daripada cabaran yang dihadapi pendidik pada zaman sebelum dan selepas kemerdekaan. Namun, matlamatnya tetap sama, iaitu membina bangsa yang berilmu, bersatu dan mempunyai masa depan yang lebih baik.
Justeru, guru bukan sahaja pendidik di dalam kelas, malah merupakan pejuang ilmu dan pembina negara yang bertanggungjawab memastikan obor kemerdekaan terus menyala dalam jiwa generasi muda. – UTUSAN
DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pusat Pengajian Pendidikan
Universiti Utara Malaysia





