DIAMI dan menyewakan rumah adalah pilihan yang menarik kepada pemilik kediaman jenis dwi kunci terutamanya pembeli muda, berikutan pendapatan daripada sewaan dapat membantu membayar ansuran pembiayaan bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property, Chee Siew Pin berkata, pangsapuri dwi kunci adalah segmen pasaran yang menarik dan sesuai untuk keluarga besar yang ingin tinggal bersama tetapi menghargai tahap kebebasan dan privasi masing-masing.
Katanya, ia juga bagus sebagai hartanah pelaburan kerana pemilik boleh menyewa sama ada unit yang lebih besar atau lebih kecil, atau kedua-duanya.
“Unit utama biasanya sebuah apartmen bersaiz biasa dengan ruang tamu, dapur dan berbilang bilik tidur dan bilik mandi serta boleh termasuk balkoni dan halaman, manakala unit kedua biasanya studio dengan pantri dan bilik mandi sendiri.
“Walau bagaimanapun, untuk nilai tambah yang lebih besar, Paramount Property mereka bentuk balkoni setiap satu untuk kedua-dua pangsapuri dwi kunci Savana di Utropolis Batu Kawan,” katanya kepada Nexbyte.
Beliau berkata, hartanah dwi kunci, walaupun sebahagiannya disewakan, menjadi aset kepada pemilik untuk menjana pendapatan pasif.
Siew Pin berkata, sebagai hartanah sewa, pemilik boleh menyewakan unit secara berasingan atau sebagai satu unit.
“Jika anda tinggal dalam satu unit dan menyewakan yang satu lagi, anda boleh memerhatikan unit sewaan anda dengan teliti. Sesetengah penyewa juga suka sekiranya tuan rumah berdekatan.
“Sudah tentu, terdapat aspek lain untuk memiliki hartanah (selain daripada dwi kunci) yang menjadikannya pelaburan yang baik seperti kemudahan, akses ke lebuh raya dan pengangkutan awam serta reputasi pemaju,” ujarnya.
Beliau berkata, Paramount Property juga menawarkan unit dwi kunci iaitu pembangunan Utropolis Batu Kawan di Pulau Pinang (Suasana, Sinaran dan Savana).
“Kami juga akan melancarkan fasa baharu di Utropolis Batu Kawan tidak lama lagi, yang juga akan melibatkan dwi kunci. Fasa terakhir kami di Utropolis Glenmarie di Shah Alam bernama Urbano dan fasa yang lebih awal, turut menawarkan apartmen dwi kunci,” jelasnya.
Beliau mengakui bahawa kediaman jenis ini adalah lebih mahal daripada apartmen kunci tunggal, walaupun pada saiz yang sama, kerana unit dwi kunci mempunyai lebih banyak binaan di dalamnya.
“Kunci kedua ialah unit studio penuh dengan pantri dan bilik mandi sendiri. Oleh itu, terdapat keperluan untuk kabel penuh dan paip air. Kunci kedua juga mempunyai pintu berkadar api sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan dalam dwi kunci mempunyai potensi yang lebih baik kerana ia mudah disewakan.
Katanya, dari aspek rekaan dan kemudahan telah dibentuk dan disesuaikan oleh pemaju mengikut kehendak pasaran yang khusus iaitu mengutamakan privasi.
“Trend oleh pemaju untuk membina kediaman dwi kunci sememangnya digemari bukan sahaja untuk pasaran sewaan tetapi juga untuk kediaman sendiri.
“Apatah lagi trend terbaharu dengan keluarga besar pelbagai generasi yang tinggal sebumbung di bandar beşar terutamanya dengan harga rumah yang mahal serta sewa yang tinggi.
“Dengan reka bentuk sedemikian, ia sangat sesuai untuk beberapa keluarga tinggal sebumbung,” ujarnya. – UTUSAN



