KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengesahkan pasukan Kuala Lumpur (KL) Rovers akan dijual bagi meringankan beban yang ditanggung persatuan itu pada musim depan.
Presiden KLFA, Khalid Samad berkata, penjualan KL Rovers dibuat bagi mengisi kantung persatuan itu untuk menampung perbelanjaan skuad Kuala Lumpur City (KL City) yang merupakan pasukan utama.
Menurut Khalid, KL Rovers yang berada di naungan KLFA bakal dilepaskan memandangkan mereka berkemungkinan besar bakal layak bermain di Liga Super musim hadapan atas tiket naib juara Liga M3.
“Difahamkan, Imigresen FC sudah buat keputusan bahawa tak akan masuk Liga Super, jadi kita (KL Rovers) nombor dua, kita sepatutnya terus dapat kedudukan untuk masuk ke Liga Super.
“Kita tidak boleh ada dua pasukan dalam Liga Super dan kalau KL Rovers masuk, kita akan jual. Pasukan ini (KL Rovers) kita (KLFA) tak boleh jaga, kita boleh jual.
“Jadi bila kita jual, kita boleh dapat balik apa yang kita sudah laburkan kepada KL Rovers sebelum ini, kemudian kita boleh guna untuk melunaskan tunggakan yang ada,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Apabila ditanya mengenai pihak yang berminat untuk membeli KL Rovers, beliau berkata terdapat beberapa pihak yang berminat namun sesi rundingan masih berjalan buat masa ini dan masih tiada kata putus.
“Ada yang cakap berminat tapi buat setakat ini, berdasarkan pengalaman kita sepanjang 3-4 tahun ini, cakap ini kadangkala tak boleh pakai. Ada dua hingga tiga (entiti) tapi saya tak boleh cakap siapa, tapi memang ada.
“Ini kerana apabila dah dapat lesen Liga Super itu, saya rasa semua berebut untuk membeli. Untuk harga kita tengok siapa yang tawarkan harga paling tinggi,” kata Khalid.
Dalam saingan Liga M3 musim lalu, KL Rovers menamatkan saingan Liga M3 2023 di tempat kedua dengan 54 mata, satu mata di belakang juara, Imigresen FC.
Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pasukan iaitu Imigresen FC, KL Rovers dan Harini FT telah membuat permohonan untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super.-UTUSAN






