PETALING JAYA: Lagenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan dilantik selaku Ketua Delegasi program “Dare to Dream” yang akan mengetuai 12 pemain menjalani latihan bersama barisan kejurulatihan pembangunan Wolverhampton Wanderers F.C.
Kesemua pemain tersebut terdiri daripada pemain yang beraksi dalam saingan MBSB Bank Championship 2023 termasuk dua pemain UiTM United yang menjulang Al-Ikhsan Cup musim lalu.
Delegasi ini akan “berkampung” di Compton Park, England bermula 19 hingga 26 Februari untuk menimba pengalaman bersama kelab yang kini beraksi dipentas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, pemilihan Zainal Abidin adalah tepat berdasarkan pengalaman yang ada pada dirinya selaku bekas pemain dan juga jurulatih.
“Memang tidak dinafikan Datuk Zainal Abidin Hassan merupakan pilihan terbaik untuk mengetuai misi “Dare to Dream”.
“Berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan status sebagai lagenda bola sepak tanah air sudah pasti memberikan suntikan semangat yang terbaik untuk pemain-pemain. Beliau juga sebelum ini pernah berkelana di sana (United Kingdom) selama enam bulan bersama Cardiff City untuk menimba pengalaman sebagai jurulatih”.
“Kami mahukan 12 pemain yang terpilih memanfaatkan sepenuhnya pengalaman menerima bimbingan dari lagenda bola sepak negara ini pada sesi latihan yang diadakan bermula 10 hingga 12 Februari di Wisma FAM, Petaling Jaya,” katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, dia tidak mahu 12 pemain yang mengalas cabaran kali ini dilihat sebagai penumpang dan juga pelancong untuk makan angin sepanjang tempoh berada disana.
“Peluang yang anda semua miliki tidak mampu dinilai dengan wang ringgit semata-mata dan tidak ditawarkan kepada pemain-pemain dalam saingan liga yang lebih tinggi ketika ini.
“Inilah peluang terbaik buat seorang pemain untuk meningkatkan mutu permainan dan tidak mustahil bakat anda akan menarik minat pasukan-pasukan di luar mahupun di dalam negara,” katanya ditemui pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM, semalam.-UTUSAN






