PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi amaran kepada pasukan Liga M3 yang bakal mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim 2024/2025 agar tidak menjual lesen itu kepada pihak lain.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen berkenaan sekiranya perkara itu berlaku kerana pasukan terbabit akan bermula daripada kosong.
Stuart berkata, MFL juga berhak untuk tidak meluluskan sebarang pengambilalihan oleh sesuatu pasukan Liga M3 itu oleh pihak ketiga sekiranya pembeli tidak menepati kriteria yang ditetapkan untuk beraksi di Liga Super.
“Proses pelesenan ini diberikan kepada sesuatu pasukan menerusi permohonan yang dikemukakan oleh pasukan itu. Jika pasukan itu dijual, MFL ada hak untuk menarik balik lesen jika saya tidak luluskan pengambilalihan terbabit.
“Bagi pengambilalihan itu, kita kena buat proses ketekunan wajar terhadap pihak yang akan membeli pasukan itu, latar belakang mereka dan sumber kewangan mereka untuk memastikan kestabilan pasukan itu pada masa depan.
“Kalau hanya beri lesen, itu bermakna pasukan itu perlu bermula dari kosong, jadi adakah ia sesuai untuk liga kita. Lesen yang diperolehi bukan untuk dijual tetapi boleh dipindah milik dengan kelulusan MFL.
“Bukannya kita bagi (lesen) dan kemudian ia dijual ikut pasukan itu,” kata Stuart.
Dalam perkembangan lain, Stuart turut memaklumkan proses temuduga untuk keempat-empat pasukan yang mengemukakan permohonan untuk beraksi di Liga Super terpaksa dianjakkan pada Isnin depan.
“Itu adalah waktu untuk jawatankuasa berjumpa dan kita akan adakan temuduga dengan keempat-empat pasukan terbabit. Jadi kita akan maklumkan selepas First Instance Body (FIB) selesai membuat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, MFL membuka kembali permohonan bagi lesen luar biasa kepada pasukan Liga M3 yang berminat bagi mengisi satu kekosongan dalam Liga Super selepas Kelantan FC tidak mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim 2024/25.
Empat pasukan yang telah menghantar permohonan itu ialah Imigresen FC (IFC), Harini FT, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dan Perlis United.-UTUSAN





