PETALING JAYA: Kapten Oman, Mohammad Al Musallami memberi amaran bahawa Harimau Malaya tidak akan menerima laluan mudah apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Kompleks Sultan Qaboos, awal pagi esok.
Oman menduduki tangga kedua berkongsi mata tiga mata dengan Kyrgyzstan namun dipisahkan dengan perbezaan gol, manakala Malaysia berada di puncak Kumpulan D dengan enam mata dan Taiwan di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Al Mussalami berkata walaupun mereka menjalani latihan dalam tempoh singkat di bawah pimpinan pengendali baharu, Silhavy Jaroslav namun tiga mata menentang Malaysia dilihat begitu penting buat mereka.
“Kami sudah bersedia untuk menentang Malaysia dan kami semua bertanggungjawab ke atas apa sahaja keputusan perlawanan kerana kami perlu mendapatkan tiga mata dalam aksi ini dan ia cukup penting buat pasukan.
“Kem latihan pasukan singkat kerana jurulatih baru menyertai kami di sini dan sebagai pemain kami sentiasa cuba untuk memahami latihan dan taktikal yang diterapkan walaupun kami hanya menjalani lapan sesi latihan,” katanya.
Pemain berusia 34 tahun itu menggesa agar penyokong memenuhi stadium yang diberikan kemasukan percuma bagi memberi semangat kepada pemain untuk menewaskan Malaysia.
“Penyokong tidak perlu dipujuk untuk datang ke stadium kerana mereka tahu tanggungjawab mereka sebagai penyokong,” katanya.-UTUSAN






