PETALING JAYA: Jenama barangan sukan terkemuka antarabangsa, Kelme meneruskan komitmen terhadap pembangunan bola sepak tempatan apabila memperbaharui perjanjian dengan Liga Bolasepak Amatur (AFL) bagi merancakkan saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/2025.
Memasuki musim kedua penajaan (2024-2027) dalam kejohanan dibawah kendalian AFL, Kelme akan menyediakan bola rasmi bagi kejohanan Liga A1 Semi-Pro yang dijadualkan bermula 1 Jun 2024 hingga Februari 2025.
Ahli Lembaga Pengarah AFL, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, AFL dan Kelme Malaysia telah memeterai perjanjian persefahaman semenjak tahun 2021 lagi namun, ia terbantut kerana dunia pada ketika itumasih belum habis berperang dengan penularan Covid-19.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada ketika itu hanya membenarkan Liga Super dijalankan tetapi tidak pertandingan di peringkat amatur.Namun begitu, KELME Malaysia tidak pernah berganjak selaku penaja terawal yangmenyokong sukan bola sepak di peringkat ini hingga ke hari ini.
“Jenama Kelme kini tidak asing lagi dalam kancah bola sepak negara mahupun di pentas antarabangsa, diangkat sebagai Penaja Rasmi Bola Pertandingan Asian Cup 2023 sudah cukup membuktikan bahawa Kelme Malaysia kini sudah sebaris dengan jenama sukan lain yang terkemuka.
“Penajaan kali ini juga sangat istimewa kerana Kelme Malaysia telah memberi nilai tambah kepada tajaannya yang merangkumi bola rasmi pertandingan, wang tunai dan lain-lain barangan sukan kali ini mencecah hampir RM 400,000 keseluruhan untuk tiga musim,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian AFL bersama Kelme dan Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/25 di Wisma FAM, hari ini.
Pada majlis tersebut simbolik pengenalan bola Kelme yang akan digunakan pada saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/25 telah disempurnakan oleh Adly bersama Pengurus Pemasaran Kelme, Louis Fun sambal disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram.
Turut hadir Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad.- UTUSAN






