PETALING JAYA :Jaguh pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak akan menggunakan teknik larian lama di Sukan Olimpik Paris 2024.
Azeem berkata, teknik yang digunakan ketika beliau mencatat masa terbaik 10.09 saat (s) di Cali, Colombia, dua tahun lalu sudah tidak sesuai dengan dirinya.
Katanya, beliau telah mempelajari teknik larian baharu dibawah kendalian Ken Harden di Amerika Syarikat (AS) dan ia akan di implikasi sepenuhnya di Paris.
“Saya kekal dengan apa saya lakukan sekarang kerana teknik lama itu adalah diri saya yang lama. Saya, kini Azeem yang lebih baik dari segi bentuk badan, kekuatan dan mental.
“Saya berusia 20 tahun dan catatan 10.09s itu adalah rekod yang saya berjaya lakukan dua tahun dahulu kerana ketika itu saya masih lagi remaja.
“Saya kini individu yang berbeza dan perkara-perkara lama sebenarnya tidak sesuai dengan umur saya. Buat masa ini, banyak peningkatan dapat dilakukan.
“Jadi nak tak nak saya perlu gunakan teknik baharu di Paris dan saya takkan gunakan teknik lama,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Azeem turut menyatakan bahawa beliau enggan mensia-siakan peluang yang diberikan dan mahu pulang ke Malaysia tanpa perasaan kecewa.
“Sasaran utama saya untuk mencari diri saya semula dan saya sudah rasa ia semakin hampir, jadi di Olimpik nanti saya mahu catatan masa terbaik. Siapa tahu saya boleh memecahkan rekod peribadi di sana,” ujarnya.
Sepanjang tahun ini, masa terbaik Azeem adalah 10.24s sewaktu Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles pada 27 April lepas dan catatan terakhirnya iaitu 10.37s dilakukan di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 baru-baru ini.
Azeem akan beraksi dalam acara Lelaki 100m di Sukan Olimpik Paris 2024 pada 4 ogos ini.- UTUSAN






