PETALING JAYA: Status ‘orang kaya baharu’ menanti pemenang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila akan menerima ganjaran yang dianggarkan hampir RM3 juta.
Ganjaran itu meliputi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM1 juta, kondominium mewah bernilai RM1 juta dan kereta SUV Tiggo 8 Pro jenama Cherry.
Tambahan RM1 juta lagi akan diberikan sekiranya pingat emas itu hadir menerusi tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie.
“Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan ganjaran RM1 juta kepada atlet yang memenangi pingat emas pertama Malaysia di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Top Glove juga mengumumkan pemberian satu unit kondominium mewah bernilai RM1 juta kepada atlet yang membawa pulang pingat emas pertama. Namun, ganjaran ini perlu dikongsi sekiranya pingat emas pertama dimenangi oleh pasukan, seperti pasangan beregu Aaron Chia-Wooi Yik.
“Penajaan peribadi berjumlah RM1 juta daripada Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Bhd (Senheng), Lim Kim Heng, kepada Aaron, Wooi Yik dan Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016.
“Jika ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai daripada Senheng itu akan dikongsikan sama rata antara mereka,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut Hannah, kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pihak swasta yang ingin memberikan ganjaran kepada atlet kerana ia adalah tanda penghargaan dan sokongan kepada usaha gigih mereka.
“Semua ganjaran ini datang secara rela hati daripada pihak swasta, dan atlet-atlet kita menerima dengan hati yang terbuka,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau berkata, beberapa penaja lagi sudah menghubungi Jawatankuasa Road to Gold (RTG) dan ia kini dalam proses dokumentasi guaman bagi memastikan komitmen tawaran insentif itu jelas dan sahih.
Rekod SHAKAM menyaksikan pemenang pingat emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000), dan gangsa (RM100,000).
Atlet juga akan menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang pingat emas menerima RM5,000, perak (RM3,000), dan gangsa (RM2,000).-UTUSAN






