KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dinasihatkan berada di dalam perkampungan sukan, venue latihan dan pertandingan agar keselamatan mereka terjamin ekoran pergolakan politik yang melanda Perancis pada ketika ini.
Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya menyedari keadaan politik yang tidak stabil di Perancis selepas pilihan raya negara itu yang berlangsung hujung minggu lalu.
“Namun, kita yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perancis selaku tuan rumah dan juga OIC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) yang amat menitik beratkan soal keselamatan.
“Saya juga yakin para atlet, jurulatih dan juga pegawai sentiasa memastikan mereka berada dalam perkampungan sukan di mana di situ keselamatan di kawal rapi,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman penajaan Samsonite yang bernilai RM346,380 di sini, semalam.
Sebelum ini, demonstrasi diadakan di seluruh Perancis berikutan keputusan pusingan kedua pilihan raya Parlimen negara itu, hujung minggu lalu, yang mendorong orang ramai turun ke jalan raya di bandar-bandar utama bagi meraikan kemenangan mengejut gabungan berhaluan kiri.
Dalam masa sama ketegangan turut berlaku di Dataran Republique di tengah Paris, di mana polis campur tangan menentang penunjuk perasaan.
Menurut Hamidin, tempat latihan serta venue pertandingan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dan atlet tidak boleh keluar sewenang-wenangnya bagi menjamin tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
Mengulas kondisi 26 atlet yang bakal membawa cabaran negara ke Paris, Hamidin berkata, setiap atlet mahu memberikan yang terbaik menjelang temasya dan menyertai kejohanan sebelum Olimpik boleh mendedahkan mereka kepada kecederaan.
“Untuk atlet, saya nasihatkan agar mereka menjaga kesihatan dan berhati-hati ketika di dalam latihan kerana kita hanya tinggal 17 hari lagi sebelum Olimpik,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai bilangan atlet yang akan ke Sukan Olimpik, Hamidin berkata, jumlah 26 atlet dengan Nur Dhabitah Sabri menjadi atlet terakhir diumumkan akan terbang ke Paris adalah muktamad dan tiada penambahan lagi selepas ini.-UTUSAN






