KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas pertama Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini bakal menerima sebuah kondominium mewah bernilai RM1 juta sebagai insentif istimewa oleh pemilik Top Residency, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Top Residency merupakan sebuah pembangunan mewah di Setia Alam, Selangor yang terletak di kawasan strategik yang pesat membangun di mana ia merupakan sebahagian daripada sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang menjanjikan gaya hidup eksklusif dan kemudahan bertaraf dunia.
“Selain Top Residency, Senheng melalui Pengerusi Eksekutif New Retail Berhad, Lim Kim Heng pula menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta kepada tiga pemain badminton yang berada di bawah Program Bakat Badminton SS (program akar umbi) iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie, sekiranya mereka berjaya membawa pulang pingat emas untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman tajaan insentif kemenangan Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Menurut Hannah, sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai akan dikongsikan sama rata dan ia merupakan sumbangan peribadi daripada Kim Heng kepada tiga pemain berkenaan.
Jelasnya, Aaron, Wooi Yik dan Tang Jie pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS yang menampung perbelanjaan latihan, penginapan dan makan minum mereka.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan terima kasih dan amat menghargai atas usaha sama ini dan kita juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta untuk tampil ke hadapan dalam usaha sama memajukan lagi industri sukan negara.
“Ini kerana kerajaan sahaja memang tidak mampu untuk melakukannya, sebab itu, kita sediakan platform bagi sesiapa yang sudi menaja atlet-atlet kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya mengenai akreditasi Sukan Olimpik yang perlu diberikan kepada individu yang berhak, beliau berkata, isu tersebut pernah disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim
sewaktu baginda menyerahkan Jalur Gemilang kepada atlet-atlet negara ke Paris.
“Sepanjang pengetahuan saya akreditasi ini diberikan oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk pegawai-pegawai Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara yang bertugas di Paris.
“Bagi persatuan pula, ia diputuskan oleh badan induk sukan berkenaan bagi memberi sokongan kepada atlet terlibat dan keutamaan perlulah diberi kepada atlet bertanding,” tegasnya. – UTUSAN






