PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor menghampiri kontrak ONE Championship bernilai AS$100 ribu (RM469,000) selepas melakar kemenangan kedua dalam pertarungan One Championship.
Dalam Pertarungan ONE Friday Nights 71 pada Jumaat lalu, Rifdean atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Magic Boy’ menang bergaya menewaskan wakil tuan rumah dari Thailand, Petaek Sitbigjasskonrakpathum
Rifdean yang mewakili kelab Sor Sommai yang berpangkalan di Bangkok, hanya memerlukan pusingan pertama untuk menumbangkan lawannya menerusi kemenangan Technical Knockout (TKO) dengan tumbukan ke muka lawan.
Kemenangan yang dilakar membawa Rifdean dan pasukannya membawa pulang bonus berjumlah 350 ribu baht (RM58,000).
“Saya sangat gembira kerana tidak merasakan sebarang tekanan dan hanya melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu. Disebabkan itu saya mampu meraih kemenangan kedua.
“Kemenangan ini memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan kontrak ONE Championship yang saya idamkan selama ini,” katanya.
Sementara itu, petinju berusia 21 tahun itu turut merakamkan penghargaan terhadap kepada jurulatihnya, Bernard Radin serta kerajaan negeri Perak dan Persatuan Muay Thai Malaysia kerana sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya.
“Saya mahu berlatih bersungguh-sungguh selepas ini dan mahu mengekalkan disiplin saya untuk mendapatkan kontrak yang saya idamkan itu,” katanya.
Untuk rekod, Rifdean mencatat kemenangan pertamanya ke atas lawan dari Thailand, Pichai Lookbanmai pada pertarungan ONE Friday Nights 56 pada 22 Mac lalu juga dengan TKO pada pusingan pertama.-UTUSAN






