PETALING JAYA: Trio memanah recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh kini sedang menjalani latihan simulasi di Korea Selatan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Haji Hasan berkata, mereka menjalani latihan simulasi bersama pasukan negara China dan Korea Selatan sehingga hujung bulan ini sebelum beraksi Paris.
“Kami menghantar trio wanita ini ke Yecheon. Mereka sudah menjalani latihan di Korea Selatan sejak 3 Julai lalu. Sudah menjadi kebiasaan persiapan memanah setiap kali temasya Olimpik akan menjalani latihan simulasi di luar negara.
“Satu pasukan dari China dan dua pasukan dari Korea Selatan akan menjadi lawan Malaysia dalam latihan simulasi ini. Kami berharap latihan ini akan dapat mempertingkatkan persembahan trio negara nanti,” katanya.
Skuad memanah recurve negara meraih tiket ke Paris selepas mara ke suku akhir Piala Dunia Memanah Stage 3 di Antalya Turkiye, Jun lalu.
Dalam pada itu, jurulatih memanah negara, Norizham Ishak enggan memberi tekanan kepada anak-anak buahnya kerana mereka masih ‘setahun jagung’ di pentas Olimpik.
“Saya menyedari mereka masih kurang berpengalaman. Jadi saya berharap latihan akhir di Korea Selatan ini mampu memantapkan lagi persiapan mental dan fizikal mereka,” katanya.
Trio memanah negara akan mengakhiri latihan intensif terakhir di Korea Selatan dan pulang ke tanah air pada 15 Julai ini sebelum berlepas ke Paris pada 19 Julai ini.
Selain beraksi dalam acara berpasukan, Ariana Nur Dania juga akan beraksi dalam acara individu selepas berjaya mra ke pentas final Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand pada November tahun lalu.-UTUSAN






