LOS ANGELES: Manny Pacquiao membuktikan usia hanya angka apabila kembali ke gelanggang tinju pada usia 46 tahun untuk merebut kejuaraan welterweight kejohanan Majlis Tinju Dunia (WBC) bulan depan.
Legenda Filipina itu akan berdepan juara bertahan, Mario Barrios, dalam pertarungan pada 19 Julai di Las Vegas, selepas kali terakhir bertarung pada 2021 dengan kekalahan kepada Yordenis Ugas.
Meskipun pernah mengumumkan persaraan, Pacquiao mengakui hatinya remuk ketika meninggalkan sukan yang telah memberinya 12 kejuaraan dunia dalam lapan kategori berbeza sejak debut profesional pada 1995.
“Empat tahun saya berehat, kini saya kembali kerana rindu pada dunia tinju. Latihan, sidang media dan suasana gelanggang,” kata Pacquiao pada sidang media di Los Angeles.
Beliau menyatakan dirinya masih aktif bersukan di kediaman di Filipina yang lengkap dengan kemudahan gimnasium, sekali gus menyedari kelajuan dan kuasa masih dimiliki.
Dalam pada itu, Presiden WBC, Mauricio Sulaiman menegaskan Pacquiao bukan berisiko tinggi kerana menjalani ujian kesihatan lengkap dan menjalani gaya hidup sihat tanpa alkohol atau dadah.
Pacquiao kini kembali menjalani latihan bersama jurulatih lama, Freddie Roach, dan mendapat sokongan penuh keluarganya selepas mereka melihat sendiri kecergasan beliau ketika latihan.
“Orang yang penting buat saya ialah keluarga. Mereka nampak bagaimana saya bergerak, berlatih dan kondisi badan saya. Sebab itu mereka sokong saya,” katanya.
Barrios, 30, pula bersedia mengetepikan rasa hormat terhadap ikon Filipina itu kerana yakin Pacquiao tetap akan cuba menjatuhkannya jika diberi peluang. – AGENSI/UTUSAN






