LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace merupakan titik permulaan The Gunners untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Arteta memuji semangat juang anak buahnya dan turut mengakui kemenangan ke atas Palace sebagai kejayaan paling bernilai musim ini selain mahu pasukan mengekalkan momentum.
“Ya, saya anggap kemenangan ini lebih bermakna berbanding mana-mana kemenangan lain musim ini. Selepas bermain setiap tiga hari, kami baru menikmati rasa kemenangan yang lebih baik.
“Kami menewaskan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara dan akan menentang Brighton dalam Piala Liga Rabu ini. Kami bertemu salah satu pasukan paling tersusun.
“Jika hilang fokus sedikit, mereka boleh hukum kami. Jadi, ia satu kemenangan besar. Kami sedar betapa sukarnya perlawanan menentang Crystal Palace,” kata Arteta.
Gol tunggal menerusi sepakan menarik Eberechi Eze ke atas bekas kelabnya memastikan Arsenal melebarkan kelebihan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada empat mata.
Bagaimanapun, Arteta enggan terbawa-bawa dengan perbualan mengenai kejuaraan ketika pencabar terdekat mengalami kemerosotan musim ini.
“Ini adalah permulaan, namun masih terlalu awal, kita baru di bulan Oktober. Emosi memang tinggi sekarang tetapi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kami perlu segera pulih untuk aksi Rabu nanti,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






