LONDON: Arsenal mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi semua lapan perlawanan dalam fasa liga Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Kairat Almaty 3-2 di Stadium Emirates, semalam sekali gus mengesahkan kedudukan teratas kejohanan itu.
Skuad kendalian Mikel Arteta bagaimanapun lebih awal mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terbaik, selain menjamin kelebihan beraksi di laman sendiri pada perlawanan timbal balik kedua pusingan kalah mati.
“Saya sangat bangga dengan pemain serta perjalanan yang kami lalui pada peringkat awal kejohanan ini.
“Sangat sukar untuk memenangi lapan perlawanan berturut-turut dalam UCL dan apa yang berlaku kepada pasukan lain membuktikan perkara itu,” kata Arteta.
Gol Arsenal dijaringkan Viktor Gyokeres pada minit kedua, disusuli ledakan Kai Havertz (m-15) dan Gabriel Martinelli (m-36) manakala jaringan pelawat disumbang Jorginho (m-7) serta Ricardinho (m-94).
Arteta telah melakukan rombakan sepenuhnya dengan menurunkan barisan berbeza daripada pasukan yang tewas di Stadium Emirates kepada Manchester United, Ahad lalu.
Keputusan itu membuahkan hasil, dengan Havertz yang berehat hampir setahun susulan kecederaan kembali membarisi kesebelasan utama, malah dia turut mencetak nama sebagai penjaring sekali gus memberi berita gembira kepada Arsenal bagi misi memburu kejuaraan dalam empat pertandingan berbeza.
“Ia memberi keyakinan, kegembiraan dan tenaga bukan saja kepada dirinya, malah seluruh pasukan.
“Pasukan sedar betapa pentingnya Kai buat kami dan bagaimana dia mampu membantu pasukan menjadi lebih baik serta membawa mereka ke tahap lebih tinggi.
“Hakikat bahawa dia mampu melakukannya hari ini selepas tempoh yang panjang sangat mengagumkan. Kami perlu menggunakan dia dengan cara tepat kerana dia akan menjadi pemain yang sangat penting pada separuh kedua musim ini,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN






