PETALING JAYA: Gandingan Aifa Azman dan Mohd Syafiq Kamal bertekad menukar warna pingat daripada perak yang diraih pada Sukan Asia Hangzhou 2022 kepada emas apabila turun beraksi dalam acara beregu campuran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Pada edisi Hangzhou, Aifa dan Syafiq terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada pasangan India dalam aksi final.
Kali ini, gandingan negara itu kembali dengan misi lebih besar untuk memperbaiki pencapaian berkenaan meskipun jarang digandingkan bersama sepanjang tahun ini.
Aifa berkata, kekurangan kejohanan kompetitif bersama bukan alasan untuk mereka gagal mencapai sasaran kerana komunikasi dan persefahaman yang sudah lama terjalin menjadi kelebihan buat gandingan tersebut.
“Sudah tentu kami ada sasaran. Daripada perak, kami sudah tentu mahu memburu emas. Namun, tiada tekanan untuk kami berdua walaupun kami terlepas dua kejohanan beregu.
“Satu kejohanan pada Jun lalu kerana saya mengalami kecederaan. Satu lagi yang sepatutnya berlangsung di Jepun terpaksa dibatalkan. Jadi tahun ini kami belum dapat digandingkan bersama,” katanya.
Menurut Aifa, meskipun dia tidak berpeluang untuk bergandingan bersama Syafiq dalam kejohanan sepanjang tahun ini, situasi berkenaan tidak menjejaskan persiapan mereka untuk menghadapi temasya di Aichi-Nagoya.
“Setakat ini, alhamdulillah, dalam latihan mungkin kerana kami sudah lama bersama, komunikasi kami tidak ada masalah.
“Jadi mudah untuk kami menyesuaikan diri ketika latihan. Setakat ini persiapan berjalan lancar dan diharapkan dalam tempoh tiga minggu lagi kami dapat memperbaiki lagi prestasi dan melakukan yang lebih baik di Sukan Asia,” katanya.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, skuad skuasy negara membawa pulang tiga emas menerusi perseorangan lelaki dan wanita serta berpasukan wanita selain satu perak bagi acara beregu campuran dan satu gangsa (berpasukan lelaki).- UTUSAN






