KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menyerap semula Datuk Azizulhasni Awang ke dalam program Road to Gold (RTG) bagi memastikan jaguh dunia itu menerima sokongan penuh dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, PKBM akan mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin sebaik Kejohanan BMX Asia berakhir bagi menyatakan pendirian badan induk itu yang mahu Azizulhasni meneruskan karier sehingga LA 2028.
“Sejak Azizulhasni menang di Piala Dunia Trek Perth dan kemudian di Nilai, pendirian saya tidak pernah berubah, iaitu dia perlu diberi peluang untuk meneruskan karier sehingga LA kerana saya percaya tugasnya masih belum selesai.
“Kami sudah berbincang dan PKBM memberikan sokongan penuh, tetapi dia juga perlu mendapat keseluruhan ekosistem sokongan daripada KBS, MSN, ISN dan RTG bagi menghadapi kempen kelayakan Olimpik,” kata selepas menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran Diraja Kerajaan Thailand di sini, semalam.
Dalam pada itu, Amarjit berkata, kempen kelayakan ke Olimpik kali ini jauh lebih mencabar berbanding edisi terdahulu kerana membabitkan Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia, siri Piala Dunia serta perlumbaan berstatus C1 dan C2 yang memerlukan komitmen kewangan serta logistik yang besar.
“Sebab itu saya akan menulis surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pengarah MSN untuk menyatakan hasrat PKBM supaya Azizulhasni meneruskan perjuangan ke LA 2028 dan kerajaan perlu menyatakan pendirian dengan jelas bahawa khidmatnya masih diperlukan.
“Saya percaya jauh di sudut hatinya dia masih mahu ke Olimpik, tetapi dia juga mahu kepastian bahawa dia mendapat sokongan penuh daripada semua pihak,” katanya.
Amarjit turut menegaskan, rekod pencapaian dimiliki pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu sudah cukup membuktikan dia wajar kembali berada dalam program RTG berdasarkan merit berbanding atlet lain.
“Lihat sahaja rekod pencapaiannya, dia lebih daripada layak untuk berada dalam RTG dan keputusan itu perlu dibuat segera kerana sebaik sahaja Sukan Asia berakhir, pasukan akan terus memulakan kempen kelayakan Olimpik di Kejohanan Dunia di Shanghai.
“Kita tidak boleh tunggu sehingga tamat Sukan Asia kerana perancangan perlu dibuat lebih awal dan PKBM mahu Azizul tahu bahawa kami bersamanya seratus peratus,” katanya.
Azizulhasni sebelum ini menjelaskan sebarang keputusan mengenai pemburuan tiket ke Olimpik LA 2028 bergantung kepada perbincangan bersama KBS, MSN dan PKBM, selain mahu mengetahui sama ada khidmatnya masih diperlukan negara sebelum membuat keputusan meneruskan karier selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini. – UTUSAN






