PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui prestasi anak buahnya di Piala Raja Thai 2026 masih perlu dipertingkatkan, terutama bagi membentuk gandingan regu ketiga yang mampu memberi cabaran pada Sukan Asia akan datang.
Malaysia terpaksa berputih mata selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada final acara regu berpasukan di Fashion Island Mall, Bangkok, kelmarin, sekali gus terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dan menyaksikan kemarau 38 tahun untuk menjuarai acara berkenaan berterusan.
Menurut Jais, sasaran Malaysia pada kejohanan kali ini hanya tercapai menerusi kemaraan ke final acara berpasukan regu, manakala skuad negara tersingkir di separuh akhir acara regu dan gagal melepasi peringkat kumpulan acara kuadran.
“Kalau ikut sasaran, kita hanya satu acara yang mencapai sasaran iaitu layak ke pentas final bagi acara berpasukan regu.
“Namun, kita tewas di separuh akhir bagi acara regu dan kuadran pula tewas di peringkat kumpulan,” katanya.
Jais turut mempertahankan apit kiri regu pertama, Kamarul Ezzad Kamarul Imran , yang membuat penampilan sulung bersama pasukan negara di pentas antarabangsa, sambil menyifatkan pengalaman beraksi di Piala Raja Thai sebagai proses penting untuk mematangkannya.
“Saya tidak meletakkan 100 peratus kesalahan kepada beliau kerana ini pengalaman pertama menyarung jersi pasukan negara di peringkat antarabangsa. Ini proses untuk beliau menimba pengalaman di peringkat tertinggi.
“Ini perlu dijadikan pengajaran untuk lebih mematangkan diri dari segi permainan, prestasi dan pengalaman. Saya percaya beliau boleh bangkit pada pertandingan antarabangsa seterusnya,” katanya.
Dalam masa sama, Jais melihat prestasi apit kiri berpengalaman, Zuleffendi Sumari semakin statik dan mengakui proses peralihan kepada pemain muda perlu dimulakan lebih awal.
Beliau berkata, Piala Raja Thai menjadi platform terbaik untuk menguji kemampuan pemain muda seperti Kamarul Ezzad, selain mencari calon terbaik bagi mengisi posisi apit kiri negara pada masa depan.
“Kita perlu bersiap sedia dari awal untuk proses transisi kerana kita sedar apit kiri seperti Farhan Adam dan Pak Long semakin berusia.
“Ini platform terbaik untuk pemain muda mengasah bakat, menimba pengalaman dan melihat sejauh mana kemampuan mereka di pentas antarabangsa,” katanya. – UTUSAN






