MADRID – Real Madrid mencipta sejarah apabila mencapai persetujuan dengan RB Leipzig untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi, Yan Diomande menerusi perpindahan bernilai RM637 juta sekali gus menjadi pembelian termahal dalam sejarah kelab itu.
Dalam masa sama gergasi Sepanyol tersebut yakin mampu mengekalkan khidmat bintang Brazil, Vinícius Junior, meskipun Arsenal dilaporkan terus memantau rapat perkembangan pemain berusia 26 tahun itu.
Selepas beberapa minggu rundingan berlangsung, termasuk menyaksikan Paris Saint-Germain (PSG) menarik diri daripada persaingan, persetujuan akhirnya dicapai kelmarin.
Madrid difahamkan akan membayar RM592 juta sebagai yuran perpindahan, selain tambahan RM47.4 juta menerusi klausa bonus berdasarkan prestasi.
Jumlah tersebut mengatasi rekod perpindahan Jude Bellingham dari Borussia Dortmund pada 2023 yang dianggarkan mencecah RM634.5 juta termasuk bonus.
Leganes turut menerima durian runtuh apabila berhak memperoleh lima peratus daripada nilai perpindahan itu menerusi klausa jualan semula.
Diomande sebelum ini hanya sempat membuat 10 penampilan bersama kelab tersebut sebelum dijual kepada Leipzig dengan nilai RM95.9 juta.
Pemain berusia 19 tahun yang menyerlah bersama Côte d’Ivoire pada kempen Piala Dunia itu dijangka menandatangani kontrak sehingga 2031, selain bakal muncul sebagai pemain Afrika paling mahal dalam sejarah, mengatasi rekod perpindahan Nicolas Pepe ke Arsenal bernilai RM396.3 juta pada 2019.
Kehadiran Diomande bagaimanapun tidak dijangka menjejaskan masa depan Vinícius di Santiago Bernabéu.
Wakil pemain itu daripada Roc Nation dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Real Madrid, Rabu lalu membincangkan lanjutan kontrak baharu, ketika Arsenal menunggu peluang sekiranya rundingan tersebut gagal mencapai kata sepakat.
Arsenal dikatakan sanggup mengemukakan tawaran melebihi RM551 juta untuk mendapatkan Vinícius yang hanya berbaki kurang setahun dalam kontraknya.
Walaupun sebelum ini timbul laporan bahawa Vinícius menolak tawaran kontrak terbaharu Madrid, sumber di Sepanyol memaklumkan pemain itu kini sedang mempertimbangkan tawaran baharu yang lebih lumayan, hampir memenuhi permintaannya sebanyak RM142 juta semusim selepas perbincangan berlangsung dalam suasana positif. – AGENSI/UTUSAN






