TORONTO: Bintang tenis Kazakhstan, Elena Rybakina meneruskan rentak kecemerlangannya apabila mara ke pusingan 16 Toronto Masters, namun nasib berbeza menimpa juara Terbuka Perancis, Mirra Andreeva apabila disingkirkan Leylah Fernandez, semalam.
Rybakina yang merupakan pilihan kedua kejohanan tidak berdepan masalah apabila menundukkan wakil Amerika Syarikat (AS), Ann Li dengan keputusan 6-2, 7-5 dalam tempoh 90 minit.
Kemenangan tersebut bakal mempertemukan juara Terbuka Australia itu dengan pemain Rusia, Liudmila Samsonova yang sebelum itu dipaksa bekerja keras menewaskan wakil Australia, Maya Joint 7-5, 6-7, 6-2.
Meskipun Samsonova memegang rekod pertemuan 4-2, Rybakina dilihat mempunyai kelebihan moral selepas memenangi dua pertemuan terakhir mereka, termasuk dalam aksi final di Strasbourg tahun lalu.
Dalam pada itu, tumpuan peminat tenis di Toronto terarah kepada kejutan yang dilakukan oleh pemain tuan rumah, Fernandez yang berjaya menyingkirkan pilihan kelima kejohanan, Andreeva menerusi kemenangan straight set 6-1, 6-4.
Kemenangan tersebut menamatkan kemarau kekalahan tujuh kali berturut-turut Fernandez apabila bertemu lawan dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Kunci utama bagi saya adalah untuk kekal positif, kuat dan terus bersabar. Dia (Andreeva) tidak akan memberikan mata mudah kepada lawan.
“Saya tahu fizikal saya cukup kuat untuk mengharungi rali yang panjang. Jadi jika saya perlu memukul 100 bola sekalipun untuk mematahkan rentak permainannya, saya akan lakukan,” kata Fernandez.
Fernandez dijadual bertemu juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka di pusingan seterusnya selepas bintang Jepun itu mudah menjinakkan wakil Belgium, Elise Mertens 6-1, 6-2.
Sementara itu, pilihan keempat dari AS, Coco Gauff turut mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir selepas menewaskan jaguh Greece, Maria Sakkari 6-1, 6-4.
Gauff yang memburu gelaran Grand Slam ketiganya selepas ini bakal diuji oleh pemain muda Russia berusia 19 tahun, Alina Korneeva yang mara selepas menyingkirkan Iva Jovic.- AGENSI






