PETALING JAYA: Pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka kukuh sekali gus menjanjikan kerajaan yang stabil namun parti-parti politik mesti sanggup mengetepikan ego serta prinsip perjuangan parti.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, sekiranya parti-parti politik tidak berganjak dengan prinsip kepartian, ia akan menyukarkan usaha membentuk kerajaan baharu yang dikehendaki rakyat.
Beliau bagaimanapun berpandangan, kerajaan terbaik adalah parti politik yang mendapat kerusi paling dominan atau majoriti 112 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.
Jelasnya, pilihan raya umum mungkin perlu diadakan semula walaupun kurang daripada satu bulan PRU15 berlangsung, setelah tiada kesepakatan membentuk kerajaan perpaduan akibat mementingkan prinsip parti dan peribadi.
“Persoalannya, adakah ini yang kita mahu? Sudah tentu tidak. Rakyat telah menterjemah demokrasi sebegini rupa. Maka, pemimpin harus bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian.
“Pemimpin-pemimpin parti harus bersepakat, ketepikan ego dan melihat semula apakah prinsip mereka. Ia harus berhubung kait dengan kehendak rakyat kerana rakyat sudah mencorak demokrasi seperti ini.
“Jika parti politik tetap dengan keputusan majlis tertinggi, perhimpunan agung, prinsip tidak mahu bekerjasama dengan PH atau DAP, ini sudah merujuk kepada prinsip peribadi. Jadi, rakyat tidak mahu dan ia perlu dicairkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Jamaie tidak memberi jaminan kerajaan perpaduan yang dibentuk stabil, melainkan kesemua parti politik memeterai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) atau memorandum persefahaman (MoU).
“Mungkin ada yang tidak puas hati, keluar daripada gabungan. Oleh itu, kerajaan sebaiknya ‘diikat’ dengan satu perjanjian untuk tempoh lima tahun bagi memacu negara ke hadapan dengan syarat tiada politiking dan pastikan ekonomi negara baik,” katanya.
Sementara itu Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berkata, rancangan pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ bukan jalan terbaik disebabkan perbezaan fahaman antara parti politik.
Katanya, BN pula dilabel sebagai kluster mahkamah yang menyaksikan beberapa pemimpinnya didakwa atas pelbagai pertuduhan, sekali gus menyukarkan usaha menangani masalah korupsi.
Katanya, Ini termasuk bekerjasama antara PH dengan PN dalam keadaan kedua-dua gabungan saling bersengketa disebabkan pelbagai isu.
“Bolehkah PN menerima PH? Sebab Pas mengkritik PKR dan DAP dengan pelbagai tuduhan sangat ekstrem, liberalisasi, isu LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dan begitu juga Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berkaitan isu kristianisasi. Adakah penyokong mereka dapat melupakan ‘kerosakan’ yang telah dilakukan?
“Sejauh mana pula perkara ini boleh menjamin kestabilan? Ia hanya menyukarkan keadaan yang mungkin kelihatan boleh selesai dalam jangka masa pendek, tetapi akhirnya menjadi bom jangka pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN






