BUKIT MERTAJAM: Lima anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan wang berjumlah RM4,500 terhadap seorang pekerja kilang, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh iaitu Sarjan Rozaini Abu Hassan, 48; Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24; Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38 dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikatakan telah melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM4,500.
Perbuatan tersebut dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat kira-kira pukul 10.15 malam pada 1 Februari lepas.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V.S. Kumar.
Terdahulu, Mohd Nordin mencadangkan agar jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Kumar merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan anak guamnya dengan alasan masing-masing perlu menanggung isteri dan anak-anak termasuk anak yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Mahkamah kemudiannya menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan iaitu jaminan akan ditarik sekiranya mana-mana tertuduh atau pihak mewakili mereka menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan kes akan disebut semula pada 15 Mac depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu, pihak media berdepan kesukaran untuk merakamkan wajah kesemua tertuduh disebabkan mereka dibawa secara bersama dengan sekumpulan tahanan lain.-UTUSAN





