BUTTERWORTH: Kertas siasatan berhubung pembabitan lima anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dalam kegiatan pemerasan seorang pekerja kilang baru-baru ini telah selesai sepenuhnya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ia kini telah diserahkan kepada Bukit Aman dan sedang disemak pula oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sana.
Katanya, kertas siasatan itu bagaimanapun akan dikembalikan kepada pihaknya sebelum ia dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, saya tidak boleh komen lanjut (sama ada kelima-lima anggota terlibat atau tidak) sehingga mendapat keputusan (daripada PPN). Jadi, bersabarlah.
“Kalau betul positif (terlibat), kita akan ‘charge’ (dakwa) mereka. Sekarang, (mereka) masih berada di lokap sehingga 9 hari bulan (Jumaat ini),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, lima anggota MPV terbabit yang berusia antara 24 hingga 48 tahun termasuk seorang anggota berpangkat Sarjan ditahan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pekerja kilang berusia 27 tahun itu.
Mangsa mendakwa, dia telah diperangkap seolah-olah memiliki dadah dan diugut untuk menyerahkan wang sehingga RM10,000 bagi mengelak daripada diberkas.
Dalam perkembangan berasingan pula, Kok Chin memberitahu, pihaknya kini sedang merancang untuk merombak 90 anggota MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berkhidmat melebihi enam tahun di negeri ke jabatan lain.
Katanya, langkah itu akan diambil dalam masa terdekat sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kes salah laku dalam kalangan anggota polis selain mahu mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap anggota polis ketika ini.-UTUSAN





