KUALA TERENGGANU: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bersikap terbuka terhadap keputusan kerajaan Terengganu tidak berhasrat menukar nama Pasar Payang di sini kepada nama yang lain.
Menurutnya, beliau tiada masalah untuk menerima keputusan kerajaan Terengganu itu walaupun projek projek pembangunan semula Pasar Payang tersebut dibiayai kerajaan Persekutuan yang berharga RM70 juta.
“Nawaitu saya baik, jangan ada yang cuba cerca-mencerca, ini bukan budaya Malaysia Madani,” katanya dalam catatannya di akaun Twitter miliknya, hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Kor Ming mencadangkan Pasar Payang dijenamakan sebagai Central Market Terengganu bagi hub untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan.
Menteri KPKT itu membuat cadangan tersebut pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 di sini pada 28 Februari lalu.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam menegaskan kerajaan negeri tidak berhasrat menukar nama Pasar Payang itu.
Ahmad Samsuri berkata, nama Pasar Payang itu telah mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu.
Projek pembangunan semula pasar payang yang berusia lebih 50 tahun adalah projek pembangunan semula pasar di atas tapak sedia ada membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM70.03 juta.
Fasa pertama projek ini bermula dengan pembinaan pasar sementara dikenali sebagai Pasar Payang 2 yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak asal yang siap dibina pada Mei 2019 manakala Pasar Payang 1 yang dibina pada Ogos 2019 siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023. – UTUSAN






