PUTRAJAYA: Kelulusan bantuan kewangan dan agihan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan dibuat melalui Jawatankuasa Penilai Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penjelasan itu bagi menepis dakwaan yang mengaitkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian (PEMANDU) diberi peranan untuk melaksanakan skop tersebut.
Menurut beliau, PEMANDU dilantik untuk melaksanakan kaji selidik, bengkel, sesi libat urus, dan penyediaan laporan akhir yang akan membantu kementerian menetapkan hala tuju baharu bagi MITRA.
“Firma perunding PEMANDU sememangnya pakar dalam menyediakan pelan transformasi, dasar dan pelan perancangan strategik bagi berkaitan polisi kerajaan.
“Oleh itu, firma perunding ini telah dilantik mengikut tatacara kewangan kerajaan iaitu Pekeliling Kewangan 3.2 dengan menggunakan peruntukan operasi Kementerian Perpaduan Negara,” katanya ketika berucap pada Bengkel Hala Tuju MITRA di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran meminta menteri untuk menjelaskan mengenai pelantikan syarikat konsultasi, PEMANDU dipercayai untuk melaksanakan bengkel bagi menghasilkan blueprint Mitra dengan peruntukan hampir RM500,000.
Beliau turut mempersoalkan kriteria pelantikan PEMANDU sebagai syarikat untuk mengendalikan sesi libat urus berkenaan dan ppakah objektif, metodologi dan hasil yang ditawarkan oleh syarikat konsultasi berkenaan.
Aaron berkata, kesemua kos perbelanjaan bagi bengkel ini ditanggung sendiri oleh Kementerian tanpa menggunakan peruntukan MITRA.
Jelasnya, Pihak PEMANDU juga melakukan kajian terperinci berhubung Malaysian Indian Blueprint 2017 dan Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) 2021.
“Antara kekangan pelaksanaan secara penuh PTMI sebelum ini adalah disebabkan limitasi mandat MITRA.
“Oleh itu, pelaksanaan bengkel ini adalah untuk menyelaras semula perkara ini supaya ia dapat diselarikan dengan mandat MITRA sebagai agensi peneraju pembangunan sosioekonomi masyarakat India,” katanya. – UTUSAN






