KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda berputih mata apabila mengalami kerugian RM30,700 gara-gara menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan, minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian bermula setelah mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sendiri itu melihat tawaran bekerja di Instagram.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa mula berhubung dengan pengendali di laman media sosial berkenaan pada 26 Februari dan diberi penerangan berkaitan tugasan membeli barangan atas talian.
Mazli menjelaskan, berdasarkan modus operandi suspek menjanjikan mangsa komisyen 10 peratus bagi setiap tugasan iaitu dengan menekan pautan atau ‘link’ yang diberikan suspek.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah membuat dua tugasan pertama membeli barangan menerusi pautan berkenaan dan berjaya menerima komisyen yang dijanjikan.
“Mangsa yang mula yakin kesahihan pekerjaan itu kemudian membuat enam lagi tugasan namun gagal menerima sebarang komisyen dengan pelbagai alasan diberikan suspek.
“Mangsa berasa tertipu apabila suspek menghilangkan diri setelah mangsa menggunakan RM30,700 duit simpanannya bagi melakukan tugasan seperti diarahkan,” jelas Mazli
Menurut Mazli, kes berkenaan antara 100 kes yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Terengganu sepanjang seminggu sejak 3 sehingga 9 Mac.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 26 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu yang membabitkan kerugian bernilai RM429,390 untuk tempoh sama.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan termasuk di media sosial kerana suspek semakin licik menggunakan modus operandi bagi meyakinkan mangsa,” ujarnya. – UTUSAN






