NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) merafak sembah titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang mahu Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif memperbaharui silibus mata pelajaran yang dilihat sudah tidak lagi relevan pada masa kini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, titah baginda adalah sejajar dengan usaha yang sedang dilaksanakan kementerian bagi memperkasakan sektor pendidikan negara.
“Ketika ini, sebanyak enam pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menambah baik sistem prasekolah, intervensi kurikulum, memperkukuhkan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengukuhan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Inisiatif intervensi kurikulum juga sedang giat dijalankan bagi memastikan keciciran pembelajaran dapat ditangani dan untuk jangka panjang, kementerian telah melancarkan kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang holistik dan relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan SMK) Saujana Indah, di Nibong Tebal di sini hari ini.
Semalam, Tunku Ismail menegaskan bahawa pendidikan berkualiti juga akan membuka banyak peluang pekerjaan bagi generasi akan datang.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kualiti sistem dan kualiti pendidikan.
“Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan dengan memperbaharui silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.
“Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah Johor jadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus di sekolah di Johor,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika ucapan perasmian pembukaan penggal persidangan ketiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini, semalam untuk kali pertama sebagai Pemangku Sultan Johor.-UTUSAN






