MEKAH: Pasukan Keselamatan Haji Arab Saudi sedang merancang untuk meningkatkan kawalan keselamatan di setiap pintu masuk, selain memastikan kelancaran jalan raya serta jalan udara menuju ke Mekah.
Menurut Komander Keselamatan Penerbangan Am, Mejar Jeneral Juruterbang Abdulaziz Al-Duraijan, langkah itu diambil bagi membendung penyalahgunaan visa semasa musim haji.
Malah, katanya, pihak keselamatan penerbangan sedang menjalankan tinjauan udara untuk memastikan aliran trafik dan keselamatan jalan raya menuju ke Tanah Suci lancar daripada individu yang tidak dibenarkan.
“Selaras dengan arahan pemimpin, Pasukan Keselamatan Haji bagi Hal Ehwal Lalulintas sedang berusaha bagi menjamin keselamatan para jemaah di Baitullah semasa haji. Sejak mereka tiba melalui semua pelabuhan darat dan udara, serta rangkaian jalan raya dan terowong di Mekah sehingga ketibaan mereka dari Madinah ke Mekah.
“Kami bekerja mengikut pelan pelaksanaan yang jelas dan khusus untuk mengurus dan mengatur lalu lintas bagi mencapai tahap keselamatan tertinggi untuk jemaah Bait. Insya-Allah jika ini dilakukan, ia akan memudahkan pada jemaah untuk bergerak ke Tanah Suci, di mana peningkatan pada hari kesembilan Hari Arafah apabila mereka bertolak dari Arafah ke Muzdalifah dan Muzdalifah ke Mina selepas tengah malam. Ini bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadah haji dengan mudah dan aman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Ketua Pasukan Keselamatan Haji bagi tahun 2024 di Pusat Gerakan Operasi Keselamatan Bersatu (911) di Mekah, hari ini.
Sidang akhbar itu meliputi keselamatan, lalu lintas dan rancangan organisasi kementerian untuk musim haji tahun ini yang dikendalikan oleh Komander Pasukan Kecemasan Khas di Presidensi Keselamatan Negara, Komander Angkatan Pertahanan Awam untuk Haji, Komander Keselamatan Penerbangan Am dan Panglima Pasukan Pasport Haji.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, Pengarah Keselamatan Awam dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral Mohammed Al-Bassami memaklumkan, pihak berkuasa Arab telah menangkap 12,974 orang dalam tempoh seminggu kerana melanggar peraturan kediaman, pekerjaan dan keselamatan sempadan sepanjang musim Haji 2024 ini.
Ia melibatkan tangkapan seramai 8,044 orang kerana melanggar undang-undang kediaman, sementara 3,395 ditahan atas percubaan melintasi sempadan secara haram dan sebanyak 1,535 lagi disebabkan masalah berkaitan buruh.
Laporan rasmi yang dikeluarkan Pasukan Keselamatan Haji menjelaskan seramai 815 orang ditangkap kerana cuba memasuki Arab Saudi secara tidak sah.
Kerajaan Arab Saudi juga turut menegaskan sesiapa yang didapati memudahkan kemasukan individu secara tidak sah ke Mekah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda sehingga 1 juta Riyal Saudi serta konfiskasi kenderaan dan harta benda. – UTUSAN






