PETALING JAYA: Sebanyak 90 peratus klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diletakkan di bawah Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
AADK dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, hanya 10 sehingga 15 peratus sahaja dimasukkan ke program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) setiap tahun.
Justeru katanya, dakwaan segelintir pihak kononnya tiada kumpulan pakar dan pemimpin masyarakat terlibat pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dadah adalah tidak tepat.
“Pada tahun 2021 seramai 73,113 klien diberi perkhidmatan dalam komuniti diikuti tahun 2022 (64,335) dan 2023 (65,372).
“Daripada jumlah berkenaan, hanya antara 7,000 sehingga hampir 10,000 orang klien telah diberi perkhidmatan dalam institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut AADK, perbezaan jumlah besar antara perkhidmatan RPDK dan RPDI adalah satu manifestasi pelaksanaan rawatan dan pemulihan berasaskan keperluan unik individu.
“Penilaian dibuat daripada segi penyalahgunaan dadah, sokongan ahli keluarga, pekerjaan, pendidikan dan sokongan sosial yang lain terhadap klien sebelum sesuatu syor dibuat oleh Pegawai Pemulihan,”jelasnya.
Tambah AADK, perkhidmatan RPDK disediakan di 42 Pusat Khidmat, termasuk Pusat Integrasi Masyarakat dan 108 Pejabat AADK Daerah yang telah dijenamakan semula sebagai Pejabat AADK Daerah dan Pusat Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti di seluruh negara.
Menurutnya, tujuan penjenamaan ini adalah untuk meningkatkan akses rawatan dan pemulihan kepada seluruh klien dan ahli keluarga klien yang mempunyai permasalahan dadah.
Selain itu katanya, RPDK turut memberi peluang kepada klien untuk mengikuti aktiviti dalam situasi kehidupan sebenar.
“Klien mengikuti rawatan dan pemulihan serta pada masa yang sama menjalankan tanggung jawabnya sebagai pelajar, anak, ketua keluarga, suami atau isteri serta pekerja.
“Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi melalui sesi–sesi yang dihadiri terus dipraktikkan dalam kehidupan sebenar dengan mendapat sokongan dari ibu bapa, ahli keluarga dan majikan,” ujarnya.-UTUSAN






