NIBONG TEBAL : Cuaca cerah pagi ini menyebabkan ramai pengundi memilih keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka membuang undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri yang juga menjadi lokasi pengundian calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56.
Rata-rata pengundi dilihat tiba seawal pukul 7.30 pagi sebelum pusat pengundian itu dibuka kira-kira pukul 8 pagi dengan golongan warga emas dilihat antara yang terawal tiba di pusat pengundian tersebut.
Seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.
Selain SK Sungai Duri, lapan lagi lokasi pusat pengundian adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.-UTUSAN






