KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman di sini yang memasuki hari kedua hari ini, diperluaskan hingga 262 batu persegi.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, Op Carilamat itu melibatkan pencarian di laut dan udara.
“Hari ini kita mengerahkan 38 anggota dan menggunakan tiga aset laut milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Selain itu, kita turut menggunakan dua aset udara iaitu helikopter milik JBPM dan bombardier milik Maritim Malaysia,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman, di sini, hari ini.
Muhammad Faisal berkata, cuaca yang baik pagi ini diharapkan dapat memudahkan usaha pencarian.
Setakat ini, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam,66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25.
Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.
Lima mangsa Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husani, 30, Haziah Harun, 30, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, terselamat.
Mangsa tersebut bergantung pada tong ikan dan barang-barang yang terapung selama dua jam sebelum diselamatkan bot nelayan tempatan yang kebetulan melalui lokasi kejadian. – UTUSAN






