PETALING JAYA: Pembanterasan rasuah perlu menjadi agenda nasional yang sentiasa menjadi keutamaan di setiap peringkat pelaksanaan seiring dengan wawasan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kesan buruk rasuah mengakibatkan kerugian besar kepada kemakmuran ekonomi dan rakyat Malaysia.
Kata beliau, SPRM mengenal pasti tiga sektor utama yang berisiko tinggi terdedah kepada kesalahan rasuah dan salah guna kuasa iaitu Penguatkuasaan, Perolehan dan Grand Corruption.
“Berdasarkan kepada statistik SPRM, lebih kurang 48 peratus daripada maklumat berkaitan rasuah yang diterima adalah berkaitan dengan sektor Penguatkuasaan dan Perolehan sejak 2019 hingga 2023.
“Oleh yang demikian, fokus SPRM terus dilipatgandakan terhadap ketiga-ketiga sektor ini di samping isu-isu lain yang muncul seperti pendanaan awam, syarikat amanah dan sebagainya,” katanya di sini.
Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kawalan sempadan dan pintu masuk menjadi isu keselamatan yang kritikal merangkumi isu penyeludupan barang terlarang atau bersubsidi mahupun kemasukan pendatang asing secara haram.
Jelas beliau, keadaan ini menjadi satu ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
“Kesan buruk rasuah mengakibatkan kerugian besar kepada kemakmuran ekonomi dan rakyat Malaysia.
“Rasuah juga menyebabkan sebagai salah satu sebab utama yang boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan hak rakyat serta berlakunya ketirisan sumber dan hasil negara,” ujarnya.
Tambah beliau, selain tindakan operasi yang memfokuskan strategi mengurangkan ketirisan dana negara, SPRM komited dalam menangani kesalahan rasuah dan salah guna kuasa melalui pengukuhan tatakelola serta tadbir urus di semua peringkat. – UTUSAN






