GEORGE TOWN: Konflik antara nelayan pukat tunda dan nelayan pantai berhubung isu pencerobohan kawasan penangkapan ikan di Pulau Pinang kini tidak lagi berlarutan susulan satu inisiatif kerjasama strategik yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, ketika ini, pihaknya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Pengerusi Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang untuk tidak menangkap ikan di kawasan yang kurang daripada 9.2 kilometer (km) dari kawasan pantai.
Katanya, isu antara nelayan pukat tunda dan nelayan pantai ini sebenarnya telah berlarutan lebih 20 tahun dan pihaknya telah mengambil langkah untuk bertemu dengan kedua-dua pihak sejak April lalu bagi memastikan mereka memahami syarat-syarat untuk menangkap ikan di kawasan yang ditetapkan.
“Sejak April lalu juga iaitu ketika mula mengambil alih tugas, saya turun bertemu dengan persatuan nelayan pantai, persatuan nelayan pukat tunda, dan unit-unit nelayan secara berperingkat bagi memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan mematuhi undang-undang penangkapan ikan yang ditetapkan.
“Hasil daripada usaha ini khususnya sejak sebulan yang lalu, kita dapati tiada sebarang pencerobohan kawasan penangkapan ikan di kawasan pantai oleh nelayan pukat tunda,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Mahadi Md. Rodzi; Pengerusi Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang, Tan How Chai serta ahli kedua-dua persatuan nelayan.
Menurut Razali, sebelum ini iaitu pada tahun lepas, terdapat 131 kes tangkapan pencerobohan kawasan penangkapan ikan yang membabitkan bot pukat tunda manakala sehingga Julai tahun ini pula, sebanyak 23 kes tangkapan telah direkodkan.
“Selepas Julai, kita tidak lagi menerima apa-apa aduan daripada nelayan pantai mengenai pencerobohan bot pukat tunda atau pelanggaran pukat di kawasan nelayan pantai.
“Saya yakin, selepas persetujuan berjaya dicapai antara kedua-dua persatuan, tiada lagi isu akan timbul yang membabitkan pencerobohan kawasan penangkapan ikan,”katanya.
Dalam pada itu, How Chai berkata, pihaknya akan sentiasa menyalurkan maklumat kepada kira-kira 200 ahli Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang agar mereka sentiasa mematuhi peraturan penangkapan ikan yang ditetapkan bagi nelayan pukat tunda.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Maritim Malaysia yang telah mengatur pertemuan dengan pihak nelayan pantai dan memberi penjelasan kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu, Mahadi pula memberitahu, pihaknya berharap menerusi persetujuan yang telah dicapai bersama itu, tiada lagi isu pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan nelayan pantai.-UTUSAN






