PETALING JAYA: Selangor FC menegaskan pihak pengurusan akan terus memberi kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih The Red Giants, Nidzam Jamil untuk terus mengendali pasukan berkenaan.
Perkara itu dijelaskan menerusi satu kenyataan media, berkata secara keseluruhan prestasi Nidzam berada ditahap memuaskan dan tindakan melantik pengendali baharu akan menjejaskan momentum Selangor FC.
Desakan ini timbul selepas kekalahan 0-3 Selangor di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super Ahad lalu namun mengekalkan Nidzam buat masa ini adalah langkah terbaik buat kelab.
“Tiada sebab untuk pengurusan Selangor FC untuk memecat atau merehatkan Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih pasukan jika dilihat melalui data perlawanan.
“Kekalkan Nidzam buat masa ini ada masa terbaik agar keadaan pasukan terus tersusun berbanding melantik ketua jurulatih disaat ini yang akan mengambil masa untuk dapat dengan cara pemain dan taktikal,” kata kelab dalam kenyataan itu.

Selangor kini menghuni tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 26 mata daripada 13 perlawanan hasil lapan menang, dua seri dan tiga kalah.
Selain itu, dibawah kendalian Nidzam, Selangor berjaya menjadi naib juara Piala FA selepas tewas 6-1 kepada JDT dalam aksi final pada 24 Ogos lalu.
Begitupun, Selangor yang kali pertama beraksi di pentas Asia berjaya menerajui kedudukan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), hasil dua menang dan satu seri untuk mengumpul tujuh mata.
Dalam pada itu, pengurusan Selangor FC berharap penyokong-penyokong lebih rasional dengan kemampuan barisan pemain yang ada dan terus memberi sokongan penuh kepada Nidzam.
“Penyokong juga perlu rasional berdasarkan pemain yang Selangor ada, malah Nidzam juga bidan terjun diawal musim disaat TCH (Tan Cheng Hoe) secara mengejut terbang ke Thailand meninggalkan pasukan yang dibina olehnya pada musim ini,” jelasnya.-UTUSAN






