KUALA LUMPUR: Kerajaan melakukan operasi besar-besaran bagi membanteras aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi supaya kegiatan itu tidak terus berleluasa.
Ia berikutan terdapat pihak tidak bertanggungjawab terus menyalahgunakan barangan subsidi terutama minyak masak peket satu kilogram, umpamanya di restoran-restoran sedangkan ia diperuntukkan kepada golongan sasar yang layak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 60 juta peket minyak masak bersubsidi dikeluarkan setiap bulan.
Kata beliau, kerajaan menggunakan satu sistem yang membantu menjejaki minyak masak tersebut daripada pembungkus kepada pemborong sehingga kepada peruncit.
“Peruncit pula diminta mengisi buku log bagi mengetahui minyak masak peket bersubsidi itu dijual kepada siapa, tetapi selepas itu kadangkala mereka tidak menyimpan buku tersebut dengan baik.
“Kebelakangan ini kita boleh lihat penguat kuasa kementerian bekerja 24 jam sehari untuk memastikan tidak berlaku ketirisan ke atas barang-barang bersubsidi terutama minyak masak peket.
“Namun, tetap ada pihak-pihak yang akan mengambil kesempatan. Contohnya, mereka menggunakan minyak masak subsidi ini di restoran. Jadi perkara ini akan dibanteras habis-habisan,” katanya semasa Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kementerian menjelaskan mekanisme diambil untuk memastikan minyak masak peket bersubsidi hanya dijual kepada golongan sasaran.
Nexbyte melaporkan cadangan supaya kerajaan memansuhkan minyak masak peket subsidi dan digantikan dengan bantuan kewangan kepada golongan sasar bagi menangani isu penyelewengan serta ketirisan.
Berdasarkan laporan, daripada kuota 60,000 tan metrik atau bersamaan 60 juta peket minyak masak bersubsidi satu kilogram sebulan di pasaran, 60 peratus digunakan oleh kumpulan peniaga mikro.
Malah, subsidi bahan keperluan harian tersebut turut dinikmati oleh 3.4 juta warga asing dengan had pembelian sebanyak tiga peket sama seperti warga tempatan.
Selain itu, wujud perbuatan yang mengambil kesempatan apabila ada sindiket membeli minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50 sepeket, kemudian dicampur dengan minyak masak terpakai dan dijual semula antara RM3 hingga RM3.80 sekilogram.
Sementara itu, Fuziah berkata, kerajaan akan memastikan penyasaran subsidi RON95 tidak memberi impak kepada harga barangan keperluan.
“Faktor turun naik (harga barangan keperluan) adalah faktor lebih global tetapi apa yang kementerian lakukan adalah memastikan bahawa segala tindakan (seperti) apabila kita menyasarkan subsidi diesel, kita memastikan penyasaran subsidi itu tidak meninggalkan kesan pada harga barang,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, seramai 11 warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang, Selangor semalam atas pertuduhan memiliki bahan kawalan berjadual tanpa lesen sah, pertengahan bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh warga Indonesia didakwa memiliki minyak masak seberat 4,000 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak di rumah sewa mereka di Jalan Kajang Jaya 1, pada pukul 8.35 malam, 12 November lalu.
Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan seterusnya, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM3,000,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh-tertuduh terlibat ialah Taufiq, 31; Muhammad Saifun Nur, 25; Mahdi Ismail, 48; Atriman Nurdin, 33; Muhammad Nazari, 48; Muhammad Saidi, 42; Munawar 25; Ricky, 54; Ikramullah 23; Muhammad Yani, 20; dan Adrian, 29.
Pegawai Pendakwa, Muhammad Saiful Saaidin tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh baharu untuk laporan kimia.
“Bagi kes ini, kesemua tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana tidak mempunyai alamat tetap dan bukan warganegara Malaysia. Pihak pendakwaan juga memohon kesemua tertuduh diletakkan di Penjara Satelit Kuala Langat,” kata Saiful.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak memohon sebarang rayuan. Hakim Mazualina Abdul Rashid menetapkan 17 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin. Pada 12 November lalu, sindiket menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga lebih tinggi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Menterinya, Datuk Armizan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sehingga membawa kepada tangkapan 15 orang termasuk empat lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, di Selangor. – UTUSAN






